Followers

Sunday, February 28, 2021

PORTFOLIO PBS

 Assalamualaikum dan Hi...

Disebabkan ramai bertanya tentang portfolio PBS tu, saya cuba kongsikan di sini, ya. Cuma, ini yang saya buat masa tahun 2018. Saya tak pasti, sekarang format begini masih sama ataupun tidak. Jadi, boleh tengok sekadar contoh sahaja la ya. Semoga bermanfaat.

Tujuan Portfolio PBS ini untuk apa ?

a. Mendokumentasikan kemahiran dan pengetahuan melalui pengalaman dalam PBS.

b. Sebagai landasan komunikasi antara pelajar, pensyarah dan mentor untuk menilai. 

c. Perkembangan profesionalisme pelajar. 

d. Memberi ruang kepada pelajar membuat refleksi dan mendapat pengetahuan dan pengalaman baharu.

 e. Membudayakan proses pengumpulan maklumat dan dokumen secara sistematik dan profesional.


Sekarang cuba lihat ini, ni merupakan kandungan portfolio PBS anda:


Saya cuba kongsikan contoh yang pernah saya buat, ayat saya ni berterabur hehe nanti kalian buatlah elok-elok ya.

1. BIODATA: 

Buat sahaja satu biodata mengikut kehendak dalam senarai semak kandungan portfolio tu.


2. PERNYATAAN PROFESIONAL

2.0       PERNYATAAN PROFESIONAL

2.1       SEBELUM PBS

Sebelum Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dijalankan, taklimat berkaitan dengan PBS daripada En. Johari selaku pensyarah penyelaras PBS daripada Unit Praktikum telah disampaikan kepada semua guru pelatih yang bakal terlibat dalam PBS. Taklimat PBS dijalankan pada 14 Mac 2018 di Dewan Zaaba, IPG KBM. Sebagai pengalaman buat pertama kali kepada semester 2 melibatkan diri dalam PBS, maka taklimat sebegini amat membantu untuk memberi kefahaman kepada guru pelatih tentang alam persekolahan yang sebenar dan membentuk pemikiran perspektif seorang guru.

 

Secara konseptualnya, fokus utama PBS memberi kefahaman dan pengalaman awal kepada bakal guru tentang sistem pengurusan sekolah, tingkah laku murid, pengurusan bilik darjah dan tugas sebenar seorang guru. Semua ini bakal diperoleh melalui pemerhatian, penelitian dokumen, refleksi dan interaksi dengan guru serta komuniti sekolah. Teras utama bagi menjalankan segala amalan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran adalah berkiblatkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendek kata, PBS mendidik guru pelatih mendalami alam persekolahan dengan lebih mendalam secara pemerhatian dengan lebih jelas berbanding pembelajaran teori sebelum ini.

Seterusnya, fokus utama tugasan PBS adalah memastikan guru pelatih dapat memahami dan menyesuaikan diri dengan budaya sekolah. Bermula dari hari pertama sehinggalah hari terakhir PBS, guru pelatih dapat menilai setiap budaya yang diamalkan di sekolah tersebut. Selain itu, PBS juga bertujuan untuk memberi pendedahan awal tentang pembelajaran murid, dan membantu guru pelatih untuk memahami pengurusan strategi pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini diperoleh melalui pemerhatian temu ramah bersama murid dan guru-guru sekolah. Secara tidak langsung, pengalaman kemahiran berinteraksi dengan murid, guru dan kakitangan sekolah dapat dicapai. Di samping itu, kemahiran inkuiri penemuan dan kemahiran berfikir secara kritis dan analitikal dapat dibina melalui PBS yang akhirnya membolehkan guru pelatih membina sikap positif terhadap profesion keguruan.

Tujuan PBS kali ini dijalankan bagi membincangkan hasil aktiviti PBS semasa interaksi kuliah dalam kursus asas pendidikan iaitu Murid dan Pembelajaran. Segala maklumat berkaitan Murid dan Pembelajaran menjadi intipati dalam tugasan PBS kali ini. Oleh itu, saya merancang untuk menjalankan pemerhatian, temu bual dan membuat perbincangan tentang alam persekolahan dan persoalan yang diperlukan dalam tugasan kerja kursus kali ini. Tugas hakiki yang sudah pasti adalah melengkapkan portfolio sepertimana garis panduan yang disenarikan oleh Unit Praktikum. Lantaran itu, sebelum menjalani PBS, saya perlu mengenal pasti borang-borang penting yang perlu difahami dan diisi bagi memudahkan proses semasa PBS berlangsung nanti.

 

Selain itu, refleksi perlu dibuat setelah PBS ini dijalankan bagi menyemai kembali pemahaman tentang tugas dan tanggungjawab seorang guru. Ini merupakan salah satu instrumen penilaian kendiri bagi mendapat pengajaran daripada hasil PBS yang dijalankan. Setelah itu, pengalaman yang diperoleh perlulah didokumentasikan untuk perbincangan semasa sesi refleksi di IPG nanti. Memang tidak dinafikan pengalaman pertama kali PBS seorang diri menimbulkan perasaan gentar. Namun, PBS ini adalah landasan untuk membiasakan suasana persekolahan dan cara PdP berlangsung dengan sebenarnya. Oleh itu, tidak menjadi masalah jika saya ditempatkan untuk mengajar di kawasan bandar mahupun di kawasan pedalaman kerana pengalaman PBS cuba mengajar kita untuk lebih mahir dalam bidang perguruan.

 

Sebagai intiha bicara, saya akan menjalankan PBS di SK Taman Ehsan Selangor bermula 26.03.2018 sehingga 30.03.2018. Persediaan rapi perlu diaturkan dari aspek persepsi komuniti sekolah terhadap kita iaitu cara pemakaian seorang guru, tingkah laku dan adab berkomunikasi supaya melambangkan perwatakan seorang guru yang bersahsiah terpuji. Setelah berjaya mendekati komuniti sekolah, barulah strategi pelaksanaan diatur untuk mencapai objektif tugasan PBS. Akhirnya, membuat penilaian kendiri dari aspek yang perlu diperbaiki dalam diri kita sebagai bakal guru. Amatlah diharapkan bahawa saya dapat menjalankan PBS dengan sebaik mungkin dan melengkapkan tugasan dengan cemerlang.

 

            2.2       Semasa PBS

Semasa sedang menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah, saya telah melakukan beberapa pemerhatian mengenai sekolah yang telah saya pilih. Saya telah melakukan kajian mengenai pengurusan sekolah. Sekolah ini diuruskan oleh 4 orang pentadbir yang berkarisma dan berwibawa dalam memastikan pengurusan sekolah berjalan dengan lancar. Jawatan-jawatan penting seperti Guru Besar, Penolong Kanan 1,Penolong kanan Hal Ehwal Murid dan Penolong Kanan Kokurikulum dipegang oleh guru lelaki serta seorang guru perempuan. Guru-guru yang mengajar di sekolah ini juga majoritinya adalah guru wanita.

           

            Semasa menjalani PBS, saya telah melakukan beberapa pemerhatian mengenai pengurusan bilik darjah, dengan kerjasama yang diberikan pihak sekolah saya dapat memasuki kelas 5 Bestari dan 3 Bestari. Setiap darjah hanya mempunyai 1 kelas setiap satu kecuali darjah 6 mempunyai 2 buah kelas. Melalui pemerhatian tersebut, saya dapat menyelesaikan sebahagian soalan yang berkaitan dengan tugasan PBS. Bagi menyiapkan keseluruhan tugasan ini, saya turut menemubual guru kelas tahap dua serta guru penanda kertas peperiksaan UPSR bagi menjawab soalan yang terdapat dalam tugasan tersebut. Selain itu, semasa PBS juga saya turut melakukan tugasan Psikologi Pendidikan EDM 2203, tugasan ini mengkehendaki saya melakukan perbezaan murid ekstrovert dan juga introvert.

 

            2.3       Selepas PBS

Selepas menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah, saya telah mengumpul dan mengemaskinikan maklumat-maklumat yang telah saya berjaya kumpulkan semasa menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah. Saya turut menjumpai beberapa ilmu pengetahuan yang berguna dan boleh saya gunakannya di masa hadapan kelak. Saya telah mempelajari mengenai teknik bertanya yang betul dan berkesan yang boleh digunakan apabila ingin mendapatkan sebarang maklumat daripada mana-mana pihak. Teknik bertanya yang betul dapat membantu saya untuk memperolehi maklumat yang saya perlukan dengan cepat dan mudah. Berdasarkan teknik bertanya yang telah saya perolehi ini, saya dapat simpulkan bahawa apabila kita menghormati seorang manusia dengan baik, maka kita akan mendapat penghormatan yang setimpal dan begitulah sebaliknya.

 

Selain itu, saya juga mendapat input yang sangat berguna semasa berjumpa dengan Guru Besar, banyak nasihat yang diberikan kepada saya bagi menjadi seorang guru yang dapat membentuk dan membantu anak didik yang bakal menerajui negara kelak. Tambahan lagi, beliau turut mengingatkan saya agar sentiasa berkongsi ilmu yang berguna agar ilmu yang berada di dada kita sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Nasihat beliau, seorang yang kedekut ilmu, seorang yang sangat rugi sebenarnya. Di samping itu, beliau turut mengingatkan saya, walau ditempatkan di bandar mahupun pedalaman, janganlah menganggap semua itu sebagai beban, jadikanlah ia sebagai satu ibadah kita sesama manusia.

            Selain itu, saya juga dapat membuat analisis bahawa persekitaran sekolah serta pengurusan bilik darjah memainkan peranan yang penting dalam membina perkembangan murid-murid sama ada dari segi Jasmani, Intelek, Rohani, Emosi mahupun Intelek. Persekitaran sekolah dan pengurusan bilik darjah yang menarik dapat mendorong perasaan ingin belajar kepada murid-murid. Murid-murid akan merasa tertarik untuk hadir ke sekolah dan seterusnya terdorong untuk belajar. Kemudahan yang mencukupi juga adalah perlu bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.  Kemudahan yang tidak mencukupi akan membantutkan proses pengajaran dan pembelajaran yang ingin dilaksanakan oleh guru-guru di sekolah.

            Tambahan lagi, ruang pembelajaran yang sempit dan tidak terurus akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang dilakukan. Keadaan kelas yang mempunyai bilangan murid-murid yang ramai serta saiz kelas yang kecil akan menimbulkan keadaan tidak selesa kepada murid-murid. Guru-guru yang masuk ke kelas juga akan merasa tidak selesa kerana terpaksa bergerak di dalam ruang yang kecil serta terpaksa mengawasi murid-murid yang ramai.

 

3. LAPORAN PELAKSANAAN PBS

Laporan Pelaksanaan Aktiviti yang Difokus 

Semasa menjalankan PBS selama seminggu, saya telah melaksanakan beberapa aktiviti seperti yang telah dirancang berpandukan senarai semak tugasan yang telah dilampirkan. Berikut adalah tindakan yang telah dilakukan sepanjang tempoh PBS di SK Taman Ehsan.             

Bil.

Tarikh

Tindakan

1.

26 Mac 2018

(Isnin)

-     Melapor diri melalui Guru Besar

-     Guru Besar meminta berjumpa dengan GPK Pentadbiran

-     Menghadiri perhimpunan rasmi

-     GPK Pentadbiran memperkenalkan saya kepada guru-guru dan staf sekolah.

-     GPK membawa saya berjumpa dengan guru Panitia ……………….. untuk membimbing.

-     Mendapatkan buku perancangan sekolah melalui GPK Pentadbiran.

 

2.

27 Mac 2018

(Selasa)

-     Menghadiri perhimpunan tidak rasmi

-     Mengambil gambar perjalanan sekolah

-     Mengumpul maklumat sekolah

v  Sejarah

v  Carta organisasi

v  Kemudahan

-     Mendapatkan maklumat sekolah selanjutnya dengan guru ………………………….

-     Mengambil gambar persekitaran sekolah

 

3.

28 Mac 2018

(Rabu)

-     Mendapatkan maklumat mengenai maklumat pusat sumber sekolah dan juga bilik BBM Dari En. Azmi bin Abdullah

-     Mengemaskini laporan

-     Memerhatikan proses P&P yang dijalankan di semua kelas termasuk kelas prasekolah, pemulihan khas dan juga pendidikan khas.

 

4.

29 Mac 2018

(Khamis)

-     Melihat perjalanan dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran murid tahun 3 bagi subjek Pendidikan Seni Visual

-     Menemu ramah pelajar berkaitan dengan aktiviti yang dijalankan.

-     Mengemaskini laporan dan maklumat

 

5.

30 Mac 2018

(Jumaat)

-     Menghadiri bacaan yasin

-     Taklimat mengenai sumbangan anak yatim dan juga pelajar miskin sempena Hari Raya

-     Taklimat Ujian bulanan pada 12, 13, 14 Ogos 2012.

2.5  Penilaian dan Laporan

 

Kesimpulannya, Pengalaman Berasaskan Sekolah yang telah saya jalani bermula dari 26 Mac 2018 hingga 30 Mac 2018 memberi banyak       pengetahuan baru kepada saya. Saya memilih Sekolah Kebangsaan Taman Ehsan yang terletak di Taman Ehsan, Kepong, Selangor . Seperti yang kita semua tahu, sekolah merupakan satu institusi penting dalam mendidik seseorang anggota individu dalam kelompok masyarakat. Pendidikan yang diterima di sekolah bukanlah hanya menumpukan kepada aspek intelek sahaja, malahan ianya merangkumi pelbagai aspek seperti jasmani, emosi, rohani dan sosial. Insan yang seimbang dan harmonis akan dapat dicapai dengan berpandukan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).


4. INSTRUMEN PENGUMPULAN DATA BERHUBUNG TUGASAN

3.0       INSTRUMEN PENGUMPULAN DATA BERHUBUNG TUGASAN

            3.1  Pemerhatian

Dalam menjalankan tugasan PBS ini, saya telah menggunakan beberapa kaedah yang salah satunya adalah pemerhatian.  Apa yang saya dapat    melalui pemerhatian saya adalah mengenai prasarana yang terdapat di sekolah ini.  Secara keseluruhannya, prasarana yang disediakan di sekolah ini     adalah sempurna dan mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang baik terhadap murid-murid di sini. Walaupun begitu masih terdapat prasarana yang ke arah penambahbaikan.

 

Selain itu, saya juga memerhati kawasan sekolah.  Landskap sekolah yang hanya berada dalam keadaan memuaskan, mungkin dipengaruhi oleh struktur bangunan yang lama . Namun begitu, pihak pentadbiran sedaya upaya untuk mewujudkan pelbagai tumbuhan hiasan dan herba yang telah ditanam di persekitaran kawasan sekolah tersebut.  Terdapat juga mural yang dilukis di dinding-dinding sekolah.

Bukan itu sahaja, saya turut memerhatikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah ini.  Saya perhatikan guru-guru di sini mengajar dengan penuh dedikasi.  Sekiranya terdapat guru yang bercuti, waktu P&P tersebut akan diganti oleh guru ganti.  Pelbagai pendekatan yang digunakan oleh guru untuk memberi segala input kepada murid yang berada di bawah penjagaannya semasa proses pengajaran dan pembelajaran            berjalan.

3.2  Temu Bual

            Kaedah temubual juga telah saya gunakan dalam menjalankan tugasan ini.  Saya telah menemubual beberapa orang responden seperti guru besar, guru penolong kanan pentadbiran, guru penolong kanan kokurikulum (KOKU), guru penolong kanan hal ehwal murid (HEM), guru panitia, guru-guru lain kakitangan sekolah dan murid. Semasa menjalankan temubual ini, saya telah mengemukakan beberapa soalan kepada mereka.  Kerjasama yang diberikan mereka sangat baik.  Saya   mendapat jawapan yang sangat memuaskan berhubung tugasan saya ini

            3.3  Soal Selidik

            Selain ketiga-tiga kaedah di atas digunakan, saya juga telah menggunakan kaedah soal selidik.  Kaedah ini digunakan bagi mendapatkan maklumat tambahan mengenai sekolah tersebut.  Saya telah menemubual salah seorang pelajar sekolah ini.  Saya menanyakan pelajar tersebut tentang suasana pembelajaran dan apa yang menarik mengenai sekolah ini.

 

4.0       KOLABORASI

            Untuk tujuan kolaborasi, saya telah mencatatkan rekod kolaborasi bersama beberapa orang kakitangan sekolah dan juga pelajar ke dalam borang kolaborasi yang disediakan berserta tandatangan pengesahan. Saya berpendapat bahawa, kolaborasi adalah penting untuk mendapatkan maklumat yang kita perlukan di samping meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan orang lain dan juga meningkatkan keyakinan diri ketika berinteraksi.

Rujuk Lampiran Kolaborasi di muka surat sebelah.

 

            4.1  Perbincangan dengan Pengurusan Sekolah

            4.2  Perbincangan dengan Guru-guru

            4.3  Perbincangan dengan Kakitangan Sekolah

            4.4  Interaksi dengan Murid

 Boleh lihat lebih lanjut di sini untuk rekod kolaboratif

 https://ezadayana.blogspot.com/2018/12/pbs-pengalaman-berasaskan-sekolah-2.html


5.0       ILMU/ PENGETAHUAN BARU MELALUI KAEDAH

            Pengalaman Berasaskan Sekolah ( PBS ) merupakan satu program wajib bagi pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia. Program ini dilaksanakan bagi setiap semester sehingga semester empat bagi pelajar-pelajar IPG. Program Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) ditugaskan untuk mengikuti PBS pada semester kedua. Program PBS ini bertujuan untuk memberi kefahaman awal kepada pelajar tentang alam persekolahan dari perspektif seorang guru.

            Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk memahami sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan dan peranan dalam bilik darjah melalui pemerhatian, penelitian dokumen, refleksi dan interaksi dengan guru dan komuniti sekolah.  Melalui PBS pelatih dapat memahami pengurusan sekolah dan pengurusan bilik darjah dan tingkah laku murid untuk menyatupadukan teori dan amalan dalam konteks pengajaran pembelajaran. Ringkasnya dengan menjalani program PBS pelajar akan lebih memahami bagaimana guru mengajar, bagaimana murid belajar dan bagaimana pengurusan sekolah mentadbir sesebuah sekolah tersebut.

            Pernyataan professional/ kontrak tugasan merujuk kepada harapan/ tugasan yang ditetapkan sendiri oleh pelajar untuk dilaksanakan dalam tempoh PBS. Fokus tertentu perlu ditetapkan oleh pelajar dalam melaksanakan tugasan tersebut bagi mencapai objektif yang diharapkan. Setiap fokus tugasan hendaklah dapat diukur dan dinilai sendiri oleh pelajar di peringkat akhir.

 5.1  Pemerhatian

           Melalui pemerhatian yang telah dijalankan, saya mendapat pengalaman tentang suasana dan juga budaya di sekolah terbabit. Saya dapat perhatikan bahawa setiap sekolah ditekankan dengan pelaksanaan program NILAM dan mendorong pihak sekolah menjalankan tugas dengan lebih komited.

Dalam pada itu, saya juga dapat membandingkan bahawa pengurusan yang lebih sempurna membawa kepada kecemerlangan yang lebih besar berbanding pengurusan yang lemah atau pasif. Ini dapat dilihat berdasarkan kepada pengurusan sekolah yang terdahulu yang mana proses perkembangan dalam beberapa aspek agak lambat berbanding pengurusan yang ada sekarang.

 

            Dari segi disiplin pula, secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan disiplin yang tinggi dalam kalangan pelajar di SK Ayer Limau yang telah dibudayakan sejak beberapa tahun yang lalu. Pelajar-pelajar di sekolah tersebut menunjukkan kerjasama dan sikap yang hormat yang tinggi kerana perkara ini amat ditekankan oleh pihak sekolah. Sebagai contoh, pelajar bukan sahaja mengucap selamat kepada guru ketika melintas tetapi juga turut bersalam dan mencium tangan guru. Ini merupakan satu budaya yang perlu diteruskan untuk terus membentuk modal insan yang gemilang.

            Meskipun dikategorikan sebagai sekolah pedalaman yang kurang sempurna kemudahannya, namun saya mendapati bahawa sekolah ini sentiasa ingin maju dan cuba meningkatkan prestasinya dalam segenap aspek. Hal ini telah mendorong kepada pelbagai pelaksanaan aktiviti yang melibatkan peningkatan kepada reputasi sekolah dan seterusnya mendapat penghargaan daripada Jabatan Pelajaran Daerah. Hal ini menjadi satu dorongan kepada saya untuk menempuh alam perguruan kelak jika saya ditempatkan di sebuah sekolah yang sedemikian.


            5.2  Temu bual

Melalui temu bual yang saya jalankan, banyak ilmu yang telah saya perolehi.  Dalam temu bual yang telah saya laksanakan, pelbagai topik telah diutarakan yang kebanyakkannya berkisar mengenai ilmu pendidikan dan sekolah itu sendiri.  Banyak perkara dan maklumat yang diperolehi. Saya telah menemubual beberapa pihak seperti Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum, guru panitia, kakitangan sekolah dan murid.  Pada mulanya saya agak malu untuk menemu bual pihak berkenaan memandangkan ia adalah persekitaran yang baru, tetapi ia cuba diadaptasi. 

 

            Banyak ilmu yang telah saya perolehi sepanjang menjalankan tugasan Pengalaman Berasaskan Sekolah  ini.  Antara yang telah saya perolehi adalah peranan pihak pengurusan dalam memperkembangkan aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS) dalam kalangan pelajar serta bagaimana proses perkembangan kanak-kanak di sekolah tersebut di ukur sama ada melalui ujian khas atau ujian yang dikendalikan oleh pihak sekolah sendiri.  Selain itu,  soalan-soalan yang ditanyakan telah dirangka sebelum saya berjumpa dengan pihak tersebut.  Hal ini kerana mengelakkan sesi temu bual terhenti-henti tanpa ada soalan.  Soalan-soalan juga turut ditanyakan.


Antara soalan yang ditanyakan ialah:

  • ·         Apakah peranan guru dalam merealisasikan FPK?
  • ·         Bagaimanakah penglibatan kokurikulum dalam kalangan pelajar?
  • ·         .......dan lain-lain (kalian senaraikan aja)

 

            5.3  Soal Selidik

Soal selidik yang telah saya laksanakan adalah dapat mengetahui siapa yang memegang jawatan sebagai Guru Besar, GPK, ketua panitia dan guru bilik darjah. Saya juga dapat mengetahui peranan dan tanggungjawab masing-masing selepas menjalankan soal selidik. Selain daripada itu juga, saya juga mengetahui nilai-nilai murni di kalangan murid-murid. 

Definisi nilai-nilai murni adalah sifat yang baik yang terdapat dalam seseorang. Antara contoh nilai-nilai murni adalah keadilan, kejujuran, hormat, keberanian, rasional, kejujuran, semangat bermasyarakat, berdikari, kesyukuran, baik hati, berhemah tinggi, berpendirian teguh, disiplin, kasih sayang, setia kawan dan sebagainya.  Terdapat murid-murid yang rajin membantu guru. Bukan itu sahaja, kami memperoleh maklumat tambahan ini dengan bertanyakan serba sedikit tentang sekolah ini pada beberapa orang responden.  Contohnya, saya telah bertanyakan para pelajar mengenai pembelajaran yang dialami oleh mereka.  Saya cuba mendapatkan maklumat ini pada masa kelas ganti.

Contoh Amalan Refleksi: 

https://ezadayana.blogspot.com/2018/12/pengalaman-berasaskan-sekolah-1.html


Jom singgah:

2 comments:

  1. thank u so much, sangat membantu! :)

    ReplyDelete
  2. terima kasih..rasanya tak berubah sgt pbs yg 2018 dgn skrg..boleh lah ikut sikit2 contoh dkt sini..terima kasih ya cg..

    ReplyDelete

PEMBELAJARAN TERADUN (BLENDED LEARNING)

 Assalamualaikum Kali ini saya lampirkan bahan-bahan rujukan berkaitan pembelajaran teradun untuk rujukan para guru dan guru pelatih. Sebena...