Followers

Thursday, February 18, 2021

CARA MENGULAS JURNAL

 Assalamualaikum dan Hi, 

Ada rakan-rakan junior yang bertanyakan tentang bagaimana cara atau format menulis ulasan jurnal?

Di sini saya kongsikan contoh ulasan jurnal yang pernah dibuat semasa kerja kursus semester-semester sebelum ini. Gunakan ini sebagai rujukan sahaja ya.

Semoga bermanfaat!

1.0 PENGENALAN (Terangkan jurnal yang dipilih)

2.0 ULASAN JURNAL (Ulas seperti contoh di bawah)

3.0 KESIMPULAN (Simpulkan jurnal yang telah diulas tadi)

4.0 RUJUKAN


ULASAN JURNAL TENTANG TEORI PEMBELAJARAN DAN ELEMEN SENI DALAM PENDIDIKAN.

Secara umumnya, penulis memperincikan disiplin seni kepada lima bidang iaitu seni tarian, seni lakonan, seni media, seni muzik atau seni visual (Chapman, 2015). Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa tiga elemen seni dalam pendidikan iaitu muzik, seni visual dan pergerakan menerusi gerak lakon dan gerak tari wujud dalam disiplin seni untuk pendidikan. Jika diteliti teori pembelajaran kecerdasan pelbagai yang dipelopori Howard Gardner pada tahun 1983, terkandung lapan jenis kecerdasan pelbagai yang perlu dikuasai oleh murid dan tiga daripadanya ialah visual-ruang, kinestetik dan muzik telah menjadi signifikan untuk dikuasai sebagai elemen penting dalam seni pendidikan (Gardner, 1999). Menurut Siti Rahayah Ariffin (2011), kecerdasan pelbagai dipercayai wujud dalam diri setiap individu maka, perlu untuk ditonjolkan, digilap dan digunakan untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan. Sebagai contoh, pengajaran bahasa Melayu yang menggabungjalinkan ketiga-tiga elemen seni ini akan melengkapkan proses pembelajaran. Lantaran itu, perincian jurnal ini amatlah penting untuk ketiga-tiga elemen seni ini di aplikasi dalam kurikulum pendidikan agar pembelajaran lebih berkesan.

            Selain itu, penulis mengetengahkan kekuatan strategi pendidikan seni yang akan membuahkan akses kecerdasan dan gaya pembelajaran demi meningkatkan potensi dalam disiplin yang lain. Sebagai contoh, melalui seni bersepadu murid dapat melaporkan fakta untuk mengkritik idea dan situasi, menyelesaikan masalah secara kreatif, dan memindahkan pembelajaran kepada konteks lain yang berkaitan (Caldwell, B., & Vaughan, T. , 2012). Jelaslah bahawa pernyataan berikut boleh dikaitkan dengan teori pembelajaran konstruktivisme yang membina murid tentang makna dunia menerusi sintesis pengalaman baru kepada apa yang difahami mereka sebelum ini. Kenyataan ini diperkukuhkan lagi dengan pendapat Mc Brien & Brandt (1997) yang menyatakan konstruktivisme adalah pendekatan pengajaran berdasarkan penyelidikan tentang bagaimana manusia belajar. Disinilah pentingnya nilai seni diterapkan untuk murid belajar mengaplikasikan dalam pendidikan kerana kualiti masa pembelajaran lebih penting berbanding kuantiti pembelajaran.

            Seterusnya, keperluan strategi pendidikan seni yang berkesan dan mapan juga amat dititikberatkan dalam penulisan jurnal ini. Penulis telah menyarankan pembinaan guru yang pakar dan mahir dalam pendidikan seni. Fokus yang disarankan bukan kepada guru seni semata-mata namun, pendekatan kepada guru biasa untuk menggabungkan seni dalam kurikulum sekolah rendah (Chapman, 2015). Hal ini kerana, seni perlu diletakkan sebagai perkara asas dan tunjang daripada terus terpinggir. Jurnal ini telah menggariskan beberapa kelebihan pendidikan seni yang perlu diimplementasikan dalam kurikulum sekolah rendah.  Faedahnya dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu faedah pendidikan seni dari aspek kognitif, sosial dan afektif. Menyingkap kelebihan dari aspek kognitif, boleh dibuktikan melalui pembelajaran transformatif yang memberi peluang kepada sistem semiotik multimodal seperti persepsi artistik dan kesedaran estetik (Ardipal, 2008 ).  Manfaat sosial pula termasuklah menghormati tradisi, budaya dan lain-lain. Begitu juga faedah afektif yang melangkaui demografi dan memberikan bantuan  yang besar kepada pelajar yang terpinggir atau kurang upaya.

Meskipun menyedari kelebihan dalam pendidikan seni, namun cabaran dalam kurikulum hari ini menunjukkan beberapa faktor penghalang untuk menjayakan seni ini dalam kurikulum. Antaranya, mengutamakan ujian dengan memihak kepada pedagogi berasaskan kuliah, gaya pengajaran formula dan pedagogi yang difahami secara sempit. Hal ini bakal mengundang tekanan dalam pendidikan kepada murid. Menurut Yampolsky dalam (Muzni & Ramanto, 2005) “Pendidikan kesenian dan pengalaman berkesenian sangat penting untuk pertumbuhan yang sihat anak-anak dan peserta didik, baik pertumbuhan mental mahupun pertumbuhan jiwa.” Benarlah, tanpa pendidikan seni, pembelajaran di dalam bilik darjah lebih sempit dan tertekan.

 Kajian yang dijalankan dalam jurnal ini terhadap pengajaran muzik menghuraikan secara terperinci elemen seni muzik dalam pendidikan. Buktinya, pengajaran muzik yang dijalankan kepada murid sekolah Tinggi, mencerminkan kepelbagaian di dunia, dan para murid penulis sendiri berasa dirinya bernilai (Chapman, 2015). Tujuannya hanya untuk murid menganggap dirinya sebagai artis yang boleh berfikir secara mendalam dan kreatif. Dengan penerapan seni muzik melalui kemahiran nyanyian dan permainan alat muzik akan mengembangkan otak kiri dan kanan murid. Sebagaimana teori Hoka-Hoki yang dipelopori Herman, otak mempunyai fungsi yang berbagai dan perlukan penyuburan untuk membentuk insan kamil. Maka, penguasaan muzik dalam pendidikan menjadikan pembelajaran lebih berkembang. Hal ini dapat dikukuhkan lagi menerusi kajian Begley, S (2000), yang telah menunjukkan bahawa pembelajaran muzik boleh meningkatkan pencapaian murid dalam bidang lain.

Di samping itu, penulis juga membuat kajian yang menggunakan muzik nyanyian dan pergerakan dalam membentuk pasukan koir (Chapman, 2015). Menyentuh kepada penekanan elemen pergerakan, elemen seni ini dapat dikaitkan dalam pendidikan bagi mewujudkan  hubung kait motor-pendengaran melalui aktiviti menari mengikut rentak muzik koir.  Sebagai contoh, melahirkan pergerakan kreatif mengikut muzik seperti pic yang berbunyi rendah dan kuat yang digambarkan dengan langkah yang kuat dan badan yang direndahkan.  Hasilnya, projek ini berjaya menunjukkan peningkatan murid dalam mencapai keberkesanan diri, ketekunan, penglibatan dengan pembelajaran, motivasi,  kepercayaan, kemahiran prestasi dan pengetahuan muzik (Chapman, 2015).  Hal ini dapatlah dikaitkan juga dengan teori kecerdasan pelbagai Howard Gardner dalam Siti Rahayah  (2011),  dimana salah satu aspek yang perlu dikuasai seseorang ialah kinestatik-badan yang memerlukan kemahiran menggunakan pergerakan seluruh anggota badan dalam menyelesaikan sesuatu perkara.`Oleh itu, pergerakan perlu diterapkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Seterusnya, kajian jurnal turut menggunakan konsert sekolah rendah sebagai platform pembelajaran bersepadu. Penulis mengakses kecerdasan pelbagai menggunakan pembelajaran multimodal melalui aktiviti main peranan, mencipta cerita visual, nyanyian lagu asli dengan gendang, dan lain-lain. Maklum balas yang diterima dalam  Chapman (2015), mencadangkan untuk murid lebih terlibat dalam pembelajaran dan pendekatan seni bersepadu multimodal.  Selain itu, pendekatan dalam pembuatan filem dan mencipta lagu turut diuji untuk melihat pencapaian tertinggi yang mampu dicapai murid. Tahap ini akan bermula mengikut proses pergerakan untuk bermain alat muzik dan akhirnya otak akan aktif dan bertenaga dalam pemikiran. Ringkasnya, penyerapan seni merupakan strategi untuk meningkatkan pembelajaran dalam seni dan disiplin lain untuk manfaat bersama.

Di akhir kajian jurnal ini, penulis memperkenalkan seni untuk diserap ke dalam amalan bilik darjah. Bagi Chapman (2015), pendidikan seni berkualiti di sekolah, ditafsirkan melalui nilai murni, dan disokong melalui rangkaian dan kemudahan yang sesuai. Semua pelajar harus mempunyai akses yang sama dan peluang mempelajari seni bersepadu di bilik darjah (McDonald, N., & Fisher, D., 2006). Dalam konteks pendidikan di Malaysia, ini merupakan salah satu amalan yang perlu di aplikasi dalam kurikulum kerana melihatkan kepada kelebihan dan kepentingan seni yang membuahkan hasil kepada murid sekolah rendah khususnya.



No comments:

Post a Comment

PEMBELAJARAN TERADUN (BLENDED LEARNING)

 Assalamualaikum Kali ini saya lampirkan bahan-bahan rujukan berkaitan pembelajaran teradun untuk rujukan para guru dan guru pelatih. Sebena...