Followers

Sunday, February 28, 2021

PORTFOLIO PBS

 Assalamualaikum dan Hi...

Disebabkan ramai bertanya tentang portfolio PBS tu, saya cuba kongsikan di sini, ya. Cuma, ini yang saya buat masa tahun 2018. Saya tak pasti, sekarang format begini masih sama ataupun tidak. Jadi, boleh tengok sekadar contoh sahaja la ya. Semoga bermanfaat.

Tujuan Portfolio PBS ini untuk apa ?

a. Mendokumentasikan kemahiran dan pengetahuan melalui pengalaman dalam PBS.

b. Sebagai landasan komunikasi antara pelajar, pensyarah dan mentor untuk menilai. 

c. Perkembangan profesionalisme pelajar. 

d. Memberi ruang kepada pelajar membuat refleksi dan mendapat pengetahuan dan pengalaman baharu.

 e. Membudayakan proses pengumpulan maklumat dan dokumen secara sistematik dan profesional.


Sekarang cuba lihat ini, ni merupakan kandungan portfolio PBS anda:


Saya cuba kongsikan contoh yang pernah saya buat, ayat saya ni berterabur hehe nanti kalian buatlah elok-elok ya.

1. BIODATA: 

Buat sahaja satu biodata mengikut kehendak dalam senarai semak kandungan portfolio tu.


2. PERNYATAAN PROFESIONAL

2.0       PERNYATAAN PROFESIONAL

2.1       SEBELUM PBS

Sebelum Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dijalankan, taklimat berkaitan dengan PBS daripada En. Johari selaku pensyarah penyelaras PBS daripada Unit Praktikum telah disampaikan kepada semua guru pelatih yang bakal terlibat dalam PBS. Taklimat PBS dijalankan pada 14 Mac 2018 di Dewan Zaaba, IPG KBM. Sebagai pengalaman buat pertama kali kepada semester 2 melibatkan diri dalam PBS, maka taklimat sebegini amat membantu untuk memberi kefahaman kepada guru pelatih tentang alam persekolahan yang sebenar dan membentuk pemikiran perspektif seorang guru.

 

Secara konseptualnya, fokus utama PBS memberi kefahaman dan pengalaman awal kepada bakal guru tentang sistem pengurusan sekolah, tingkah laku murid, pengurusan bilik darjah dan tugas sebenar seorang guru. Semua ini bakal diperoleh melalui pemerhatian, penelitian dokumen, refleksi dan interaksi dengan guru serta komuniti sekolah. Teras utama bagi menjalankan segala amalan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran adalah berkiblatkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendek kata, PBS mendidik guru pelatih mendalami alam persekolahan dengan lebih mendalam secara pemerhatian dengan lebih jelas berbanding pembelajaran teori sebelum ini.

Seterusnya, fokus utama tugasan PBS adalah memastikan guru pelatih dapat memahami dan menyesuaikan diri dengan budaya sekolah. Bermula dari hari pertama sehinggalah hari terakhir PBS, guru pelatih dapat menilai setiap budaya yang diamalkan di sekolah tersebut. Selain itu, PBS juga bertujuan untuk memberi pendedahan awal tentang pembelajaran murid, dan membantu guru pelatih untuk memahami pengurusan strategi pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini diperoleh melalui pemerhatian temu ramah bersama murid dan guru-guru sekolah. Secara tidak langsung, pengalaman kemahiran berinteraksi dengan murid, guru dan kakitangan sekolah dapat dicapai. Di samping itu, kemahiran inkuiri penemuan dan kemahiran berfikir secara kritis dan analitikal dapat dibina melalui PBS yang akhirnya membolehkan guru pelatih membina sikap positif terhadap profesion keguruan.

Tujuan PBS kali ini dijalankan bagi membincangkan hasil aktiviti PBS semasa interaksi kuliah dalam kursus asas pendidikan iaitu Murid dan Pembelajaran. Segala maklumat berkaitan Murid dan Pembelajaran menjadi intipati dalam tugasan PBS kali ini. Oleh itu, saya merancang untuk menjalankan pemerhatian, temu bual dan membuat perbincangan tentang alam persekolahan dan persoalan yang diperlukan dalam tugasan kerja kursus kali ini. Tugas hakiki yang sudah pasti adalah melengkapkan portfolio sepertimana garis panduan yang disenarikan oleh Unit Praktikum. Lantaran itu, sebelum menjalani PBS, saya perlu mengenal pasti borang-borang penting yang perlu difahami dan diisi bagi memudahkan proses semasa PBS berlangsung nanti.

 

Selain itu, refleksi perlu dibuat setelah PBS ini dijalankan bagi menyemai kembali pemahaman tentang tugas dan tanggungjawab seorang guru. Ini merupakan salah satu instrumen penilaian kendiri bagi mendapat pengajaran daripada hasil PBS yang dijalankan. Setelah itu, pengalaman yang diperoleh perlulah didokumentasikan untuk perbincangan semasa sesi refleksi di IPG nanti. Memang tidak dinafikan pengalaman pertama kali PBS seorang diri menimbulkan perasaan gentar. Namun, PBS ini adalah landasan untuk membiasakan suasana persekolahan dan cara PdP berlangsung dengan sebenarnya. Oleh itu, tidak menjadi masalah jika saya ditempatkan untuk mengajar di kawasan bandar mahupun di kawasan pedalaman kerana pengalaman PBS cuba mengajar kita untuk lebih mahir dalam bidang perguruan.

 

Sebagai intiha bicara, saya akan menjalankan PBS di SK Taman Ehsan Selangor bermula 26.03.2018 sehingga 30.03.2018. Persediaan rapi perlu diaturkan dari aspek persepsi komuniti sekolah terhadap kita iaitu cara pemakaian seorang guru, tingkah laku dan adab berkomunikasi supaya melambangkan perwatakan seorang guru yang bersahsiah terpuji. Setelah berjaya mendekati komuniti sekolah, barulah strategi pelaksanaan diatur untuk mencapai objektif tugasan PBS. Akhirnya, membuat penilaian kendiri dari aspek yang perlu diperbaiki dalam diri kita sebagai bakal guru. Amatlah diharapkan bahawa saya dapat menjalankan PBS dengan sebaik mungkin dan melengkapkan tugasan dengan cemerlang.

 

            2.2       Semasa PBS

Semasa sedang menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah, saya telah melakukan beberapa pemerhatian mengenai sekolah yang telah saya pilih. Saya telah melakukan kajian mengenai pengurusan sekolah. Sekolah ini diuruskan oleh 4 orang pentadbir yang berkarisma dan berwibawa dalam memastikan pengurusan sekolah berjalan dengan lancar. Jawatan-jawatan penting seperti Guru Besar, Penolong Kanan 1,Penolong kanan Hal Ehwal Murid dan Penolong Kanan Kokurikulum dipegang oleh guru lelaki serta seorang guru perempuan. Guru-guru yang mengajar di sekolah ini juga majoritinya adalah guru wanita.

           

            Semasa menjalani PBS, saya telah melakukan beberapa pemerhatian mengenai pengurusan bilik darjah, dengan kerjasama yang diberikan pihak sekolah saya dapat memasuki kelas 5 Bestari dan 3 Bestari. Setiap darjah hanya mempunyai 1 kelas setiap satu kecuali darjah 6 mempunyai 2 buah kelas. Melalui pemerhatian tersebut, saya dapat menyelesaikan sebahagian soalan yang berkaitan dengan tugasan PBS. Bagi menyiapkan keseluruhan tugasan ini, saya turut menemubual guru kelas tahap dua serta guru penanda kertas peperiksaan UPSR bagi menjawab soalan yang terdapat dalam tugasan tersebut. Selain itu, semasa PBS juga saya turut melakukan tugasan Psikologi Pendidikan EDM 2203, tugasan ini mengkehendaki saya melakukan perbezaan murid ekstrovert dan juga introvert.

 

            2.3       Selepas PBS

Selepas menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah, saya telah mengumpul dan mengemaskinikan maklumat-maklumat yang telah saya berjaya kumpulkan semasa menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah. Saya turut menjumpai beberapa ilmu pengetahuan yang berguna dan boleh saya gunakannya di masa hadapan kelak. Saya telah mempelajari mengenai teknik bertanya yang betul dan berkesan yang boleh digunakan apabila ingin mendapatkan sebarang maklumat daripada mana-mana pihak. Teknik bertanya yang betul dapat membantu saya untuk memperolehi maklumat yang saya perlukan dengan cepat dan mudah. Berdasarkan teknik bertanya yang telah saya perolehi ini, saya dapat simpulkan bahawa apabila kita menghormati seorang manusia dengan baik, maka kita akan mendapat penghormatan yang setimpal dan begitulah sebaliknya.

 

Selain itu, saya juga mendapat input yang sangat berguna semasa berjumpa dengan Guru Besar, banyak nasihat yang diberikan kepada saya bagi menjadi seorang guru yang dapat membentuk dan membantu anak didik yang bakal menerajui negara kelak. Tambahan lagi, beliau turut mengingatkan saya agar sentiasa berkongsi ilmu yang berguna agar ilmu yang berada di dada kita sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Nasihat beliau, seorang yang kedekut ilmu, seorang yang sangat rugi sebenarnya. Di samping itu, beliau turut mengingatkan saya, walau ditempatkan di bandar mahupun pedalaman, janganlah menganggap semua itu sebagai beban, jadikanlah ia sebagai satu ibadah kita sesama manusia.

            Selain itu, saya juga dapat membuat analisis bahawa persekitaran sekolah serta pengurusan bilik darjah memainkan peranan yang penting dalam membina perkembangan murid-murid sama ada dari segi Jasmani, Intelek, Rohani, Emosi mahupun Intelek. Persekitaran sekolah dan pengurusan bilik darjah yang menarik dapat mendorong perasaan ingin belajar kepada murid-murid. Murid-murid akan merasa tertarik untuk hadir ke sekolah dan seterusnya terdorong untuk belajar. Kemudahan yang mencukupi juga adalah perlu bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.  Kemudahan yang tidak mencukupi akan membantutkan proses pengajaran dan pembelajaran yang ingin dilaksanakan oleh guru-guru di sekolah.

            Tambahan lagi, ruang pembelajaran yang sempit dan tidak terurus akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang dilakukan. Keadaan kelas yang mempunyai bilangan murid-murid yang ramai serta saiz kelas yang kecil akan menimbulkan keadaan tidak selesa kepada murid-murid. Guru-guru yang masuk ke kelas juga akan merasa tidak selesa kerana terpaksa bergerak di dalam ruang yang kecil serta terpaksa mengawasi murid-murid yang ramai.

 

3. LAPORAN PELAKSANAAN PBS

Laporan Pelaksanaan Aktiviti yang Difokus 

Semasa menjalankan PBS selama seminggu, saya telah melaksanakan beberapa aktiviti seperti yang telah dirancang berpandukan senarai semak tugasan yang telah dilampirkan. Berikut adalah tindakan yang telah dilakukan sepanjang tempoh PBS di SK Taman Ehsan.             

Bil.

Tarikh

Tindakan

1.

26 Mac 2018

(Isnin)

-     Melapor diri melalui Guru Besar

-     Guru Besar meminta berjumpa dengan GPK Pentadbiran

-     Menghadiri perhimpunan rasmi

-     GPK Pentadbiran memperkenalkan saya kepada guru-guru dan staf sekolah.

-     GPK membawa saya berjumpa dengan guru Panitia ……………….. untuk membimbing.

-     Mendapatkan buku perancangan sekolah melalui GPK Pentadbiran.

 

2.

27 Mac 2018

(Selasa)

-     Menghadiri perhimpunan tidak rasmi

-     Mengambil gambar perjalanan sekolah

-     Mengumpul maklumat sekolah

v  Sejarah

v  Carta organisasi

v  Kemudahan

-     Mendapatkan maklumat sekolah selanjutnya dengan guru ………………………….

-     Mengambil gambar persekitaran sekolah

 

3.

28 Mac 2018

(Rabu)

-     Mendapatkan maklumat mengenai maklumat pusat sumber sekolah dan juga bilik BBM Dari En. Azmi bin Abdullah

-     Mengemaskini laporan

-     Memerhatikan proses P&P yang dijalankan di semua kelas termasuk kelas prasekolah, pemulihan khas dan juga pendidikan khas.

 

4.

29 Mac 2018

(Khamis)

-     Melihat perjalanan dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran murid tahun 3 bagi subjek Pendidikan Seni Visual

-     Menemu ramah pelajar berkaitan dengan aktiviti yang dijalankan.

-     Mengemaskini laporan dan maklumat

 

5.

30 Mac 2018

(Jumaat)

-     Menghadiri bacaan yasin

-     Taklimat mengenai sumbangan anak yatim dan juga pelajar miskin sempena Hari Raya

-     Taklimat Ujian bulanan pada 12, 13, 14 Ogos 2012.

2.5  Penilaian dan Laporan

 

Kesimpulannya, Pengalaman Berasaskan Sekolah yang telah saya jalani bermula dari 26 Mac 2018 hingga 30 Mac 2018 memberi banyak       pengetahuan baru kepada saya. Saya memilih Sekolah Kebangsaan Taman Ehsan yang terletak di Taman Ehsan, Kepong, Selangor . Seperti yang kita semua tahu, sekolah merupakan satu institusi penting dalam mendidik seseorang anggota individu dalam kelompok masyarakat. Pendidikan yang diterima di sekolah bukanlah hanya menumpukan kepada aspek intelek sahaja, malahan ianya merangkumi pelbagai aspek seperti jasmani, emosi, rohani dan sosial. Insan yang seimbang dan harmonis akan dapat dicapai dengan berpandukan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).


4. INSTRUMEN PENGUMPULAN DATA BERHUBUNG TUGASAN

3.0       INSTRUMEN PENGUMPULAN DATA BERHUBUNG TUGASAN

            3.1  Pemerhatian

Dalam menjalankan tugasan PBS ini, saya telah menggunakan beberapa kaedah yang salah satunya adalah pemerhatian.  Apa yang saya dapat    melalui pemerhatian saya adalah mengenai prasarana yang terdapat di sekolah ini.  Secara keseluruhannya, prasarana yang disediakan di sekolah ini     adalah sempurna dan mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang baik terhadap murid-murid di sini. Walaupun begitu masih terdapat prasarana yang ke arah penambahbaikan.

 

Selain itu, saya juga memerhati kawasan sekolah.  Landskap sekolah yang hanya berada dalam keadaan memuaskan, mungkin dipengaruhi oleh struktur bangunan yang lama . Namun begitu, pihak pentadbiran sedaya upaya untuk mewujudkan pelbagai tumbuhan hiasan dan herba yang telah ditanam di persekitaran kawasan sekolah tersebut.  Terdapat juga mural yang dilukis di dinding-dinding sekolah.

Bukan itu sahaja, saya turut memerhatikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah ini.  Saya perhatikan guru-guru di sini mengajar dengan penuh dedikasi.  Sekiranya terdapat guru yang bercuti, waktu P&P tersebut akan diganti oleh guru ganti.  Pelbagai pendekatan yang digunakan oleh guru untuk memberi segala input kepada murid yang berada di bawah penjagaannya semasa proses pengajaran dan pembelajaran            berjalan.

3.2  Temu Bual

            Kaedah temubual juga telah saya gunakan dalam menjalankan tugasan ini.  Saya telah menemubual beberapa orang responden seperti guru besar, guru penolong kanan pentadbiran, guru penolong kanan kokurikulum (KOKU), guru penolong kanan hal ehwal murid (HEM), guru panitia, guru-guru lain kakitangan sekolah dan murid. Semasa menjalankan temubual ini, saya telah mengemukakan beberapa soalan kepada mereka.  Kerjasama yang diberikan mereka sangat baik.  Saya   mendapat jawapan yang sangat memuaskan berhubung tugasan saya ini

            3.3  Soal Selidik

            Selain ketiga-tiga kaedah di atas digunakan, saya juga telah menggunakan kaedah soal selidik.  Kaedah ini digunakan bagi mendapatkan maklumat tambahan mengenai sekolah tersebut.  Saya telah menemubual salah seorang pelajar sekolah ini.  Saya menanyakan pelajar tersebut tentang suasana pembelajaran dan apa yang menarik mengenai sekolah ini.

 

4.0       KOLABORASI

            Untuk tujuan kolaborasi, saya telah mencatatkan rekod kolaborasi bersama beberapa orang kakitangan sekolah dan juga pelajar ke dalam borang kolaborasi yang disediakan berserta tandatangan pengesahan. Saya berpendapat bahawa, kolaborasi adalah penting untuk mendapatkan maklumat yang kita perlukan di samping meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan orang lain dan juga meningkatkan keyakinan diri ketika berinteraksi.

Rujuk Lampiran Kolaborasi di muka surat sebelah.

 

            4.1  Perbincangan dengan Pengurusan Sekolah

            4.2  Perbincangan dengan Guru-guru

            4.3  Perbincangan dengan Kakitangan Sekolah

            4.4  Interaksi dengan Murid

 Boleh lihat lebih lanjut di sini untuk rekod kolaboratif

 https://ezadayana.blogspot.com/2018/12/pbs-pengalaman-berasaskan-sekolah-2.html


5.0       ILMU/ PENGETAHUAN BARU MELALUI KAEDAH

            Pengalaman Berasaskan Sekolah ( PBS ) merupakan satu program wajib bagi pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia. Program ini dilaksanakan bagi setiap semester sehingga semester empat bagi pelajar-pelajar IPG. Program Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) ditugaskan untuk mengikuti PBS pada semester kedua. Program PBS ini bertujuan untuk memberi kefahaman awal kepada pelajar tentang alam persekolahan dari perspektif seorang guru.

            Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk memahami sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan dan peranan dalam bilik darjah melalui pemerhatian, penelitian dokumen, refleksi dan interaksi dengan guru dan komuniti sekolah.  Melalui PBS pelatih dapat memahami pengurusan sekolah dan pengurusan bilik darjah dan tingkah laku murid untuk menyatupadukan teori dan amalan dalam konteks pengajaran pembelajaran. Ringkasnya dengan menjalani program PBS pelajar akan lebih memahami bagaimana guru mengajar, bagaimana murid belajar dan bagaimana pengurusan sekolah mentadbir sesebuah sekolah tersebut.

            Pernyataan professional/ kontrak tugasan merujuk kepada harapan/ tugasan yang ditetapkan sendiri oleh pelajar untuk dilaksanakan dalam tempoh PBS. Fokus tertentu perlu ditetapkan oleh pelajar dalam melaksanakan tugasan tersebut bagi mencapai objektif yang diharapkan. Setiap fokus tugasan hendaklah dapat diukur dan dinilai sendiri oleh pelajar di peringkat akhir.

 5.1  Pemerhatian

           Melalui pemerhatian yang telah dijalankan, saya mendapat pengalaman tentang suasana dan juga budaya di sekolah terbabit. Saya dapat perhatikan bahawa setiap sekolah ditekankan dengan pelaksanaan program NILAM dan mendorong pihak sekolah menjalankan tugas dengan lebih komited.

Dalam pada itu, saya juga dapat membandingkan bahawa pengurusan yang lebih sempurna membawa kepada kecemerlangan yang lebih besar berbanding pengurusan yang lemah atau pasif. Ini dapat dilihat berdasarkan kepada pengurusan sekolah yang terdahulu yang mana proses perkembangan dalam beberapa aspek agak lambat berbanding pengurusan yang ada sekarang.

 

            Dari segi disiplin pula, secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan disiplin yang tinggi dalam kalangan pelajar di SK Ayer Limau yang telah dibudayakan sejak beberapa tahun yang lalu. Pelajar-pelajar di sekolah tersebut menunjukkan kerjasama dan sikap yang hormat yang tinggi kerana perkara ini amat ditekankan oleh pihak sekolah. Sebagai contoh, pelajar bukan sahaja mengucap selamat kepada guru ketika melintas tetapi juga turut bersalam dan mencium tangan guru. Ini merupakan satu budaya yang perlu diteruskan untuk terus membentuk modal insan yang gemilang.

            Meskipun dikategorikan sebagai sekolah pedalaman yang kurang sempurna kemudahannya, namun saya mendapati bahawa sekolah ini sentiasa ingin maju dan cuba meningkatkan prestasinya dalam segenap aspek. Hal ini telah mendorong kepada pelbagai pelaksanaan aktiviti yang melibatkan peningkatan kepada reputasi sekolah dan seterusnya mendapat penghargaan daripada Jabatan Pelajaran Daerah. Hal ini menjadi satu dorongan kepada saya untuk menempuh alam perguruan kelak jika saya ditempatkan di sebuah sekolah yang sedemikian.


            5.2  Temu bual

Melalui temu bual yang saya jalankan, banyak ilmu yang telah saya perolehi.  Dalam temu bual yang telah saya laksanakan, pelbagai topik telah diutarakan yang kebanyakkannya berkisar mengenai ilmu pendidikan dan sekolah itu sendiri.  Banyak perkara dan maklumat yang diperolehi. Saya telah menemubual beberapa pihak seperti Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum, guru panitia, kakitangan sekolah dan murid.  Pada mulanya saya agak malu untuk menemu bual pihak berkenaan memandangkan ia adalah persekitaran yang baru, tetapi ia cuba diadaptasi. 

 

            Banyak ilmu yang telah saya perolehi sepanjang menjalankan tugasan Pengalaman Berasaskan Sekolah  ini.  Antara yang telah saya perolehi adalah peranan pihak pengurusan dalam memperkembangkan aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS) dalam kalangan pelajar serta bagaimana proses perkembangan kanak-kanak di sekolah tersebut di ukur sama ada melalui ujian khas atau ujian yang dikendalikan oleh pihak sekolah sendiri.  Selain itu,  soalan-soalan yang ditanyakan telah dirangka sebelum saya berjumpa dengan pihak tersebut.  Hal ini kerana mengelakkan sesi temu bual terhenti-henti tanpa ada soalan.  Soalan-soalan juga turut ditanyakan.


Antara soalan yang ditanyakan ialah:

  • ·         Apakah peranan guru dalam merealisasikan FPK?
  • ·         Bagaimanakah penglibatan kokurikulum dalam kalangan pelajar?
  • ·         .......dan lain-lain (kalian senaraikan aja)

 

            5.3  Soal Selidik

Soal selidik yang telah saya laksanakan adalah dapat mengetahui siapa yang memegang jawatan sebagai Guru Besar, GPK, ketua panitia dan guru bilik darjah. Saya juga dapat mengetahui peranan dan tanggungjawab masing-masing selepas menjalankan soal selidik. Selain daripada itu juga, saya juga mengetahui nilai-nilai murni di kalangan murid-murid. 

Definisi nilai-nilai murni adalah sifat yang baik yang terdapat dalam seseorang. Antara contoh nilai-nilai murni adalah keadilan, kejujuran, hormat, keberanian, rasional, kejujuran, semangat bermasyarakat, berdikari, kesyukuran, baik hati, berhemah tinggi, berpendirian teguh, disiplin, kasih sayang, setia kawan dan sebagainya.  Terdapat murid-murid yang rajin membantu guru. Bukan itu sahaja, kami memperoleh maklumat tambahan ini dengan bertanyakan serba sedikit tentang sekolah ini pada beberapa orang responden.  Contohnya, saya telah bertanyakan para pelajar mengenai pembelajaran yang dialami oleh mereka.  Saya cuba mendapatkan maklumat ini pada masa kelas ganti.

Contoh Amalan Refleksi: 

https://ezadayana.blogspot.com/2018/12/pengalaman-berasaskan-sekolah-1.html


Jom singgah:

Thursday, February 18, 2021

CARA MENGULAS JURNAL

 Assalamualaikum dan Hi, 

Ada rakan-rakan junior yang bertanyakan tentang bagaimana cara atau format menulis ulasan jurnal?

Di sini saya kongsikan contoh ulasan jurnal yang pernah dibuat semasa kerja kursus semester-semester sebelum ini. Gunakan ini sebagai rujukan sahaja ya.

Semoga bermanfaat!

1.0 PENGENALAN (Terangkan jurnal yang dipilih)

2.0 ULASAN JURNAL (Ulas seperti contoh di bawah)

3.0 KESIMPULAN (Simpulkan jurnal yang telah diulas tadi)

4.0 RUJUKAN


ULASAN JURNAL TENTANG TEORI PEMBELAJARAN DAN ELEMEN SENI DALAM PENDIDIKAN.

Secara umumnya, penulis memperincikan disiplin seni kepada lima bidang iaitu seni tarian, seni lakonan, seni media, seni muzik atau seni visual (Chapman, 2015). Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa tiga elemen seni dalam pendidikan iaitu muzik, seni visual dan pergerakan menerusi gerak lakon dan gerak tari wujud dalam disiplin seni untuk pendidikan. Jika diteliti teori pembelajaran kecerdasan pelbagai yang dipelopori Howard Gardner pada tahun 1983, terkandung lapan jenis kecerdasan pelbagai yang perlu dikuasai oleh murid dan tiga daripadanya ialah visual-ruang, kinestetik dan muzik telah menjadi signifikan untuk dikuasai sebagai elemen penting dalam seni pendidikan (Gardner, 1999). Menurut Siti Rahayah Ariffin (2011), kecerdasan pelbagai dipercayai wujud dalam diri setiap individu maka, perlu untuk ditonjolkan, digilap dan digunakan untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan. Sebagai contoh, pengajaran bahasa Melayu yang menggabungjalinkan ketiga-tiga elemen seni ini akan melengkapkan proses pembelajaran. Lantaran itu, perincian jurnal ini amatlah penting untuk ketiga-tiga elemen seni ini di aplikasi dalam kurikulum pendidikan agar pembelajaran lebih berkesan.

            Selain itu, penulis mengetengahkan kekuatan strategi pendidikan seni yang akan membuahkan akses kecerdasan dan gaya pembelajaran demi meningkatkan potensi dalam disiplin yang lain. Sebagai contoh, melalui seni bersepadu murid dapat melaporkan fakta untuk mengkritik idea dan situasi, menyelesaikan masalah secara kreatif, dan memindahkan pembelajaran kepada konteks lain yang berkaitan (Caldwell, B., & Vaughan, T. , 2012). Jelaslah bahawa pernyataan berikut boleh dikaitkan dengan teori pembelajaran konstruktivisme yang membina murid tentang makna dunia menerusi sintesis pengalaman baru kepada apa yang difahami mereka sebelum ini. Kenyataan ini diperkukuhkan lagi dengan pendapat Mc Brien & Brandt (1997) yang menyatakan konstruktivisme adalah pendekatan pengajaran berdasarkan penyelidikan tentang bagaimana manusia belajar. Disinilah pentingnya nilai seni diterapkan untuk murid belajar mengaplikasikan dalam pendidikan kerana kualiti masa pembelajaran lebih penting berbanding kuantiti pembelajaran.

            Seterusnya, keperluan strategi pendidikan seni yang berkesan dan mapan juga amat dititikberatkan dalam penulisan jurnal ini. Penulis telah menyarankan pembinaan guru yang pakar dan mahir dalam pendidikan seni. Fokus yang disarankan bukan kepada guru seni semata-mata namun, pendekatan kepada guru biasa untuk menggabungkan seni dalam kurikulum sekolah rendah (Chapman, 2015). Hal ini kerana, seni perlu diletakkan sebagai perkara asas dan tunjang daripada terus terpinggir. Jurnal ini telah menggariskan beberapa kelebihan pendidikan seni yang perlu diimplementasikan dalam kurikulum sekolah rendah.  Faedahnya dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu faedah pendidikan seni dari aspek kognitif, sosial dan afektif. Menyingkap kelebihan dari aspek kognitif, boleh dibuktikan melalui pembelajaran transformatif yang memberi peluang kepada sistem semiotik multimodal seperti persepsi artistik dan kesedaran estetik (Ardipal, 2008 ).  Manfaat sosial pula termasuklah menghormati tradisi, budaya dan lain-lain. Begitu juga faedah afektif yang melangkaui demografi dan memberikan bantuan  yang besar kepada pelajar yang terpinggir atau kurang upaya.

Meskipun menyedari kelebihan dalam pendidikan seni, namun cabaran dalam kurikulum hari ini menunjukkan beberapa faktor penghalang untuk menjayakan seni ini dalam kurikulum. Antaranya, mengutamakan ujian dengan memihak kepada pedagogi berasaskan kuliah, gaya pengajaran formula dan pedagogi yang difahami secara sempit. Hal ini bakal mengundang tekanan dalam pendidikan kepada murid. Menurut Yampolsky dalam (Muzni & Ramanto, 2005) “Pendidikan kesenian dan pengalaman berkesenian sangat penting untuk pertumbuhan yang sihat anak-anak dan peserta didik, baik pertumbuhan mental mahupun pertumbuhan jiwa.” Benarlah, tanpa pendidikan seni, pembelajaran di dalam bilik darjah lebih sempit dan tertekan.

 Kajian yang dijalankan dalam jurnal ini terhadap pengajaran muzik menghuraikan secara terperinci elemen seni muzik dalam pendidikan. Buktinya, pengajaran muzik yang dijalankan kepada murid sekolah Tinggi, mencerminkan kepelbagaian di dunia, dan para murid penulis sendiri berasa dirinya bernilai (Chapman, 2015). Tujuannya hanya untuk murid menganggap dirinya sebagai artis yang boleh berfikir secara mendalam dan kreatif. Dengan penerapan seni muzik melalui kemahiran nyanyian dan permainan alat muzik akan mengembangkan otak kiri dan kanan murid. Sebagaimana teori Hoka-Hoki yang dipelopori Herman, otak mempunyai fungsi yang berbagai dan perlukan penyuburan untuk membentuk insan kamil. Maka, penguasaan muzik dalam pendidikan menjadikan pembelajaran lebih berkembang. Hal ini dapat dikukuhkan lagi menerusi kajian Begley, S (2000), yang telah menunjukkan bahawa pembelajaran muzik boleh meningkatkan pencapaian murid dalam bidang lain.

Di samping itu, penulis juga membuat kajian yang menggunakan muzik nyanyian dan pergerakan dalam membentuk pasukan koir (Chapman, 2015). Menyentuh kepada penekanan elemen pergerakan, elemen seni ini dapat dikaitkan dalam pendidikan bagi mewujudkan  hubung kait motor-pendengaran melalui aktiviti menari mengikut rentak muzik koir.  Sebagai contoh, melahirkan pergerakan kreatif mengikut muzik seperti pic yang berbunyi rendah dan kuat yang digambarkan dengan langkah yang kuat dan badan yang direndahkan.  Hasilnya, projek ini berjaya menunjukkan peningkatan murid dalam mencapai keberkesanan diri, ketekunan, penglibatan dengan pembelajaran, motivasi,  kepercayaan, kemahiran prestasi dan pengetahuan muzik (Chapman, 2015).  Hal ini dapatlah dikaitkan juga dengan teori kecerdasan pelbagai Howard Gardner dalam Siti Rahayah  (2011),  dimana salah satu aspek yang perlu dikuasai seseorang ialah kinestatik-badan yang memerlukan kemahiran menggunakan pergerakan seluruh anggota badan dalam menyelesaikan sesuatu perkara.`Oleh itu, pergerakan perlu diterapkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Seterusnya, kajian jurnal turut menggunakan konsert sekolah rendah sebagai platform pembelajaran bersepadu. Penulis mengakses kecerdasan pelbagai menggunakan pembelajaran multimodal melalui aktiviti main peranan, mencipta cerita visual, nyanyian lagu asli dengan gendang, dan lain-lain. Maklum balas yang diterima dalam  Chapman (2015), mencadangkan untuk murid lebih terlibat dalam pembelajaran dan pendekatan seni bersepadu multimodal.  Selain itu, pendekatan dalam pembuatan filem dan mencipta lagu turut diuji untuk melihat pencapaian tertinggi yang mampu dicapai murid. Tahap ini akan bermula mengikut proses pergerakan untuk bermain alat muzik dan akhirnya otak akan aktif dan bertenaga dalam pemikiran. Ringkasnya, penyerapan seni merupakan strategi untuk meningkatkan pembelajaran dalam seni dan disiplin lain untuk manfaat bersama.

Di akhir kajian jurnal ini, penulis memperkenalkan seni untuk diserap ke dalam amalan bilik darjah. Bagi Chapman (2015), pendidikan seni berkualiti di sekolah, ditafsirkan melalui nilai murni, dan disokong melalui rangkaian dan kemudahan yang sesuai. Semua pelajar harus mempunyai akses yang sama dan peluang mempelajari seni bersepadu di bilik darjah (McDonald, N., & Fisher, D., 2006). Dalam konteks pendidikan di Malaysia, ini merupakan salah satu amalan yang perlu di aplikasi dalam kurikulum kerana melihatkan kepada kelebihan dan kepentingan seni yang membuahkan hasil kepada murid sekolah rendah khususnya.



Sembahyang? Sembah Yang Apa

 Assalamualaikum dan hai warga maya sekalian...

Hari ini, saya ingin berkongsi satu artikel penulisan kawan saya. 

Jom kita berfikir sejenak dan menghayati penulisan artikel ini. 

Selamat membaca😀

Tajuk: Sembahyang? Sembah Yang Apa 

Nukilan: Sinar Zaidi

Pernahkah kita terfikir satu persoalan apabila kita mendengar atau menyebut istilah:

“sembahyang”

Alkisah bermula apabila Sinar Zaidi, anak jati Kampung Batu Talam berada di bangku sekolah menengah. Usia remaja baru menjengah. Sel-sel otak pun baru nak berkembang. 

    Dalam persekitaran yang cenderung kepada keagamaan, Sinar Zaidi mula menyedari bahawa kata “sembahyang” sering digunakan oleh masyarakat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu (sebab majoriti penduduk di situ kaum Melayu) sejak sekian lama secara turun-temurun (sejak Sinar Zaidi masih kecil). Oleh sebab dilahirkan dan dibesarkan dalam Islam, dapat difahami bahawa “sembahyang“ bermaksud “solat”, iaitu menyembah Tuhan Yang Esa dengan ritual yang ditetapkan dalam agama. 

Namun, mengapa terdapat dua istilah yang berbeza merujuk kepada satu perkara yang sama? 

    Skema yang dibina dalam dirinya ialah “sembahyang” merupakan bahasa Melayu iaitu terjemahan langsung daripada “solat” yang dipinjam daripada bahasa Arab. Tapi tidak berhenti di situ, Sinar Zaidi terfikir bahawa jika “sembahyang” merupakan bahasa Melayu, maka frasa itu seolah-olah tidak lengkap.

Pada asalnya, Sinar Zaidi berpendapat istilah sembahyang ialah “Sembah yang”. Maka, masalah lain muncul apabila memikirkan bahawa frasa itu seperti tergantung. “Sembah yang” apa? Sel-sel otak yang berhubung pun mula merangka jawapan sendiri dengan mengatakan bahawa istilah sembahyang ialah singkatan daripada “Sembah Yang Esa”. 

Mengikut hasil pembelajaran bahawa orang Arab yang sifatnya suka meringkaskan sesuatu supaya senang disebut seperti Hadis 40 Imam Nawawi yang digenapkan supaya dipermudahkan sedangkan hadis yang terkandung ialah sebanyak 42 hadis. 

Bahasa Arab juga mempunyai hukum yang memudahkan sebutan seperti idgham mutamasilain, mutaqaribain dan mutajanisain yang memasukkan huruf sebelum kepada huruf selepasnya.



Rajah 1: Antara hukum idgham dalam kitab al-Quran

Disebabkan pengaruh Islam yang kuat, Sinar Zaidi berteori bahawa orang Melayu juga menerima budaya Arab yang ingin menjadikan sesuatu sebutan kepada lebih mudah dengan menyingkatkan frasa tersebut, seperti “engkau” kepada “kau”, “tidak” kepada “tak” dan tidak mustahil “Sembah Yang Esa” kepada “sembahyang”. Kata “Esa” mungkin dibuang untuk kegunaan umum yang boleh dipakai oleh penganut lain kerana mereka tidak menyembah “Yang Esa”. 

Sinar Zaidi menyimpulkan segala teori dengan mengambil informasi daripada persekitarannya (seperti teori perkembangan kognitif Piaget)(Wong Kiet Wah et. al, 2016), maklumlah baru di bangku sekolah, belum mempunyai asas dalam melakukan penelitian secara ilmiah. 

Malah, orang di sekeliling juga tidak dapat menjawab soalan yang diajukan tersebut. Setelah lebih kurang 20 tahun hidup dengan teori sendiri, sedikit demi sedikit tugasan sebagai pelajar terjerumus kepada kajian ilmiah, secara tidak sengaja Sinar Zaidi telah membaca jurnal-jurnal yang membahaskan budaya Melayu sejak turun-temurun. 



“Sembahyang” Diguna Pakai Masyarakat Melayu Sejak Zaman Lampau.


Tahukah anda bahawa istilah sembahyang sudah menjadi pegangan masyarakat Melayu sejak sebelum kedatangan Hindu lagi?

    Sebelum abad keempat, masyarakat Melayu sekian lama menganut kepercayaan animisme iaitu percaya bahawa setiap sesuatu mempunyai semangat ghaib dan melakukan ritual seperti menyembah pokok, matahari dan lain-lain, termasuk roh nenek moyang. Istilah ini berasal daripada perkataan Latin iaitu “Anima” (sesungguhnya tiada kaitan dengan Anime Jepun) yang bermaksud “jiwa”. 

    Secara lazimnya, upacara pemujaan seperti menyembah pantai atau memberi makan hantu diamalkan oleh masyarakat primitif ini. Maka, tidak hairan apabila budaya seni seperti tarian Ulek Mayang yang berlatarbelakangkan tarian memuja pantai dan drama atau filem yang memberi darah kepada khadam jin masih segar di layar televisyen kerana mungkin amalan tersebut adalah budaya paling tua dalam kalangan masyarakat Melayu. Animisme merupakan tradisi yang sudah menjadi budaya mereka.

Nurdeng Deuraseh (2010) menulis dalam jurnalnya bahawa ketika ini istilah “sembahyang” sudah digunakan oleh orang Melayu. Kata asal “sembahyang” ialah “sembah hyang”. “Hyang” membawa erti sinonim dengan “poyang” atau “moyang” yang menunjukkan bahawa orang Melayu percaya akan semangat nenek moyang mereka berada dalam kalangan masyarakat dan boleh ditenangkan dengan upacara penyajian serta penyembahan. Hal ini dilakukan kerana roh-roh ini akan memberi kesan yang besar terhadap kehidupan yang masih hidup. Maka, istilah “sembahyang” ini sebenarnya ialah “sembah hyang” iaitu menyembah nenek moyang. Frasa ini terus digunakan dalam fasa penyebaran Hindu-Buddha pada abad keempat di Tanah Melayu.

Rajah 2: Keratan yang membahas istilah “sembahyang”.

Tuhan Seerti Dengan Dewa?


Selain istilah “sembahyang”, mari kita lihat pula istilah “tuhan” dan “dewa”. Seperti yang diketahui umum, istilah “dewa” kebiasaannya digunakan untuk merujuk kepada lebih dari satu kuasa ghaib yang hidup bersama. Contohnya dewa Nordic iaitu Thor, Loki dan Hela merupakan anak kepada dewa Odin, dewa Yunani seperti Poseidon, Athena dan Hercules yang diketuai oleh Zeus serta dewa Mesir seperti dewa Horus anak kepada dewa Osiris, merangkap anak saudara dewa Set. 

        Manakala, istilah “tuhan” hadir daripada orang Melayu yang menggabungkan dua frasa iaitu “tuha” dan “an”. Menurut Noresah Baharom et. al (2015), “tuha” bermaksud “tua”. “An” pula merupakan rujukan kepada angka seperti yang sering dituturkan dalam kalangan masyarakat seperti 20-an dan 1970-an. 

        Dalam konteks “tuhan” ini, “tuha” bermakna “tua” yang tiada permulaan baginya, paling awal daripada setiap sesuatu, sehingga membentuk konsep “Sang Hyang Tunggal” atau “Tuhan Yang Maha Esa”. Istilah ini masih tersisa ciri-ciri budaya animisme dalam kalangan orang Melayu.

Rajah 3: Keratan yang membahas istilah “tuhan”.

Disebabkan konsep tauhid ini digunakan, dapat kita fahami bahawa konsep ini diperoleh daripada ajaran Islam yang dibawa masuk pada abad ke-13 meskipun pernah disebut bahawa Islam hadir lebih awal iaitu pada abad kesembilan (Namri Sidek, 2019). Tuhan Yang Maha Esa itu merujuk kepada Tuhan sekalian alam yang dikenali seluruh dunia tanpa mengira bangsa sebagai Allah SWT.


Kemunculan Solat dan Ruqyah


Fungsi Tanah Melayu sebagai pusat penyebaran Islam pada kurun ke-15, banyak istilah dipinjam daripada bahasa Arab. Maka, bermulalah proses penggantian istilah menjadi lebih keagamaan seperti “sembahyang” ditukarkan kepada “solat” dan “jampi” ditukarkan kepada “ruqyah”.

         Jangan terkejut jika dikatakan bahawa “ruqyah” ialah “jampi”. Apa yang difahami oleh masyarakat Melayu, “jampi” merupakan ritual spiritual yang akan memanggil semangat ghaib. Namun begitu, konsep “jampi” boleh dibahagikan kepada dua (Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 2018) iaitu:


Rajah 4: Keratan yang membahas konsep “jampi”.

        Disebabkan pengaruh Arab-Islam, “ruqyah” hanya merujuk kepada “jampi” yang menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dan doa-doa (no. 1), manakala jampi yang bersifat syirik (no. 2) tidak digelar sebagai “ruqyah” sedangkan “ruqyah” itu sendiri ialah bermaksud “jampi” secara umum dalam bahasa Arab.

Rajah 5: Keratan yang membuktikan istilah “ruqyah” sebagai “jampi”.

Hadis di atas jelas menterjemahkan kata “ar-ruqaa” (ruqyah) dengan “jampi”. Bukan “ruqyah” sahaja yang disempitkan maknanya dalam bahasa Melayu, begitu juga istilah “ulama’” yang bermaksud “cerdik pandai” dalam bahasa Arab tetapi disempitkan dalam bahasa Melayu dengan merujuk kepada orang yang tinggi ilmu agama sahaja. Seterusnya, istilah “imam” pula hanya merujuk kepada pengendali solat jemaah sedangkan “imam” bermaksud “ketua”.


Adakah Salah Jika Kita Gunakan Istilah Sembahyang?


Dalam bahagian ini merupakan pandangan Sinar Zaidi sendiri, seperti biasa, setiap pandangan pasti akan ade yang menerima dan ada yang menolak. Maka, Sinar Zaidi bersikap terbuka untuk menerima kritikan sekiranya pendapat yang dikemukakan ini tidak benar. Sinar Zaidi berpendapat bahawa istilah “sembahyang” tidak salah digunakan bagi merujuk solat. Malah sembahyang juga merupakan istilah asli orang Melayu yang merujuk kepada menundukkan diri kepada kekuasaan yang berada di atau segala kuasa. 

        Sembahyang juga digunakan secara umum, bukan hanya merujuk solat, tetapi juga merujuk kepada ritual orang bukan Islam. Disebabkan sifat bahasa yang dinamik, istilah ini sudah menjadi kebiasaan dalam penutur bahasa Melayu. Maka, masih boleh digunakan. Ini kerana “sembahyang” merujuk kepada upacara spiritual secara umum termasuk solat iaitu proses mendekatkan diri dengan Pencipta, bukan merujuk hanya kepada menyembah roh nenek moyang. Hal yang membenarkan lagi penggunaan istilah ini apabila masih tiada konflik atau fatwa daripada alim ulama’ daripada menggunakan istilah ini secara meluas. Walllahu a’lam.


Kesimpulan

Begitulah serba sedikit, sejarah perubahan budaya Melayu sejak dahulukala sehingga kemasukan pengaruh Hindu-Buddha dan kedatangan Islam yang merubah konsep kepercayaan masyarakat Melayu. Semua informasi di atas hanya bermula dengan secebis persoalan iaitu, mengapa orang Melayu menggunakan frasa “sembahyang” untuk merujuk perbuatan solat. 


    Daripada secebis persoalan di minda, informasi yang diterima berkembang berikutan persoalan-persoalan lain yang terbit apabila persoalan awal diselidiki. Begitulah kehidupan manusia di muka Bumi Allah yang penuh misteri ini. Jangan sangka orang yang bijak pandai sudah boleh meninggi diri, sedangkan ilmu Allah itu bagaikan seluas lautan. Ibnu Katsir dalam kitab Tafsir-nya menukil perkataan ar-Rabi’ ibnu Anas yang berkata: “Ayat 109 dalam surah al-Kahfi menggambarkan perumpamaan ilmu seluruh manusia jika dibandingkan dengan ilmu Allah bagaikan setitis air dibanding seluruh samudera”. Apatah lagi jika dibandingkan dengan ilmu yang ada pada individu yang hina ini. 


    Di sini juga Sinar Zaidi menegaskan bahawa tidak salah berteori (pendapat yang tak semestinya benar), tetapi bergurulah untuk mendapat jawapan yang tepat hingga ke akhir usia kerana terlalu banyak persoalan yang tidak dapat dijawab sekadar dengan lisan walaupun persoalan tersebut berkaitan dengan asal usul sendiri. Selain itu, cadangan Sinar Zaidi bahawa keluarlah sedikit dari kotak bidang bagi menjelajah alam pengetahuan am meskipun ramai orang yang mengatakan perkara itu kecil dan tidak penting. Sebenarnya, perkara yang tidak pernah terfikir oleh orang lain itu ialah sebuah percikan kreatif luar kotak minda manusia dan perkara yang dianggap kecil itulah sebenarnya satu misteri yang tak terjawab oleh orang ramai.


Nukilan: Sinar Zaidi

Saluran Youtube Cadangan Untuk Informasi Luar Kotak:- Saluran Ajar



  

P.E.A.H              Haziq


Rujukan

 

 










PEMBELAJARAN TERADUN (BLENDED LEARNING)

 Assalamualaikum Kali ini saya lampirkan bahan-bahan rujukan berkaitan pembelajaran teradun untuk rujukan para guru dan guru pelatih. Sebena...