Followers

Tuesday, November 27, 2018

INOVASI- Cara Tulis Laporan Inovasi

PENGHASILAN LAPORAN INOVASI ATAU KERTAS KERJA INOVASI

1.   Abstrak

2. Latarbelakang
·         Pendahuluan, Fokus Inovasi, Objektif, Kumpulan yang terlibat (sekiranya berkumpulan)

3. Kedudukan sebelum inovasi dijalankan
·         Penyataan masalah/isu berdasarkan data secara saintifik dan sistematik.

4. Masalah yang telah dikenalpasti
·         Menyenaraikan masalah-masalah yang dihadapi semasa melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
·         Menghuraikan masalah-masalah utama yang dihadapi.
·         Masalah yang dinyatakan adalah masalah yang akan diselesaikan melalui penambahbaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (kaedah, strategi, Bahan bantu belajar, bahan bantu mengajar).

5. Inovasi yang telah dijalankan
·        -  Menerangkan inovasi yang telah dilaksanakan secara terperinci.
·  - Menerangkan bagaimana inovasi dilakukan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
·   - Menerangkan inovasi dari aspek kandungan, strategi dan cara pelaksanaannya dalam pengajaran dan pembelajaran.
·     - Keadaan pelaksanaan inovasi. Kemukakan gambar, gambarajah, slaid, carta dan sebagainya tentang inovasi tersebut atau keadaan selepas inovasi diperkenalkan.
·        - Bahan dan anggaran kos, keadaan masalah selepas pelaksanaan Inovasi.

6. Faedah-faedah dari inovasi yang telah diperkenalkan  
7. Penyebaran
8. Potensi Kormesial

9. Kesimpulan

INOVASI: Cara membangunkan sebuah inovasi

LANGKAH MENGHASILKAN IDEA INOVASI?

Pertama:
Kenalpasti sesuatu masalah yang kalian nak selesaikan.
Contohnya: murid tu ada masalah untuk menghafal sifir. Atau ada murid yang keliru untuk kuasai rumus-rumus tatabahasa. Jadi, bagaimana kita nak cari jalan penyelesaiannya?  
Kita juga perlu kenalpasti masalah ini pada tahap mana? Sama ada tahap asas? Sederhana? Tinggi? Supaya bahan yang kita hasilkan itu nanti bersesuaian.Jangan lupa untuk tetapkan sasaran yang ada mahukan untuk menggunakan inovasi anda nanti.

Kedua:
Selepas dah tahu masalah yang kita nak selesaikan tu, barulah kita nyatakan objektif atau matlamat yang kita harapkan dari inovasi yang bakal kita hasilkan.
Contohnya, objektif utama untuk penghasilan inovasi …?.... adalah untuk menyelesaikan kekeliruan…, meningkatkan daya ingatan…, memudahkan pemahaman… dan lain-lain. Apapun, kita perlukan keyakinan terhadap objektif yang kita gariskan supaya bahan inovasi yang dihasilkan nanti dapatlah memenuhi objektif yang kita mahukan.

Ketiga:
Haaa… peringkat ini paling penting! Kalian perlu banyak membaca, mengkaji, memahami, menganalisis setiap maklumat yang berkaitan tentang masalah dan cara nak selesaikan masalah itu. Kalian boleh baca jurnal atau mana-mana kajian yang telah orang ramai jalankan. Tekan sahaja masalah yang kalian nak cari tu di Mr.Google, semua ada. Ambillah pandangan daripada kata-kata tokoh yang berkaliber dalam bidang tersebut. Daripada situlah kita dapat cari idea untuk olah idea asal dan cuba gabungjalin dengan teori mana-mana kemudian tambah baik dengan idea sendiri. Ingat! Apabila kita mengambil sesuatu idea daripada idea asal seseorang…. Maka perlulah untuk kita labelkan nama pemilik asalnya. 

 Baiklah, setelah kita faham sesuatu isu dan bagaimana nak selesaikan, kita bolehlah berbincang dengan rakan sepasukan. Berbincang ini penting supaya idea masing-masing dapat diluahkan dan ditolak sekiranya tidak sesuai. Dalam inovasi ini, kita perlukan idea daripada rakan sepasukan. Sebab? Kalau idea kita seorang, alamatnya syok sendiri la jadinya. Takut nanti ada sahaja kepincangan dan tak sesuai. Setelah berbincang barulah kalian tetapkan bentuk inovasi yang kalian hendak jalankan. Sama ada inovasi itu berbentuk kaedah ataupun berbentuk bahan.


Keempat:
Seperti biasa, bila dah ada idea maka kita hasilkanlah bersama-sama ahli pasukan. Waktu ini anda perlu catat setiap kos dan tempoh masa penghasilan inovasi anda. Untuk catat setiap kos anda pastikan anda buka satu buku kira-kira supaya boleh tahu berapa modal yang kalian laburkan dan berapa banyak wang yang telah digunakan. Anda juga perlu lakukan pemerhatian dari segi penggunaan bahan yang tahan lama, menarik dan berpatutan dari segi kosnya. Untuk masa penghasilan inovasi pula, kalian perlu sediakan carta Gantt (Lihat gambar dibawah) supaya anda dapat menyiapkan inovasi anda mengikut tempoh masa yang ditetapkan.



Kelima:
Setelah bahan inovasi atau kaedah inovasi berjaya dihasilkan, anda perlulah mengujinya. Sebelum diuji, bentangkan dahulu inovasi anda kepada pihak yang pakar contohnya pensyarah anda ataupun senior anda yang lebih berpengalaman. Anda perlu kenalpasti kritikan mereka dan cuba tambah baik sekiranya perlu. Hal ini supaya, semasa kajian rintis dijalankan tidaklah berlaku kekeliruan dalam kalangan sasaran.

Keenam:
Anda perlu siapkan sebuah buku panduan atau manual pengguna untuk menggunakan inovasi anda hasilkan. Hal ini demikian kerana, bagi memudahkan pihak ketiga menggunakannya semasa proses uji cuba.

Ketujuh:
Jalankan kajian rintis di sekolah atau IPT mengikut golongan sasaran yang digariskan. Setiap kali kajian rintis dijalankan, pastikan anda sediakan ujian pra/pos, kemudian ajar menggunakan inovasi anda lalu barulah jalankan ujian pasca/selepas. Setiap data perlu dicatat dengan teliti dan jujur. Setelah data dikumpul, anda perlu bina graf untuk ujian pos dan pasca untuk melihat perbandingan setelah menggunakan inovasi anda. Contoh: Graf bar berganda atau graf garisan berganda.



Kelapan:
Jalankan penambahbaikan jika perlu. Kemudian perkara paling penting adalah dapatkan pengesahan hak cipta. Contohnya: My IPO.  Benda ini penting supaya bahan inovasi kita atau idea kita tidak digunapakai oleh pihak yang tidak sepatutnya. Nak dapatkan hak cipta ni bagaimana ye? Rujuk entri akan datang.



Kesembilan:
Buat kesimpulan, dan bolehlah bersedia kalau nak sertai mana-mana pertandingan inovasi pdpc jika dianjurkan. Jika nak sertai pertandingan, anda perlu menghasilkan bahan-bahan lain pula untuk pameran dan pembentangan. Nanti saya ceritakan pada entri akan datang.

INOVASI: Cetusan Idea Inovasi PdPc

PENGHASILAN IDEA INOVASI PDPC

Baiklah, hari ini saya nak kongsikan pengalaman saya semasa menghasilkan idea inovasi bersama rakan seperjuangan saya iaitu pasukan inovasi Kit S-B-A-K dan pasukan Kit Line Dance.  Inovasi amat diperlukan dalam pengurusan pendidikan bagi menangani perubahan dalam pendidikan secara umum.

Inovasi yang saya fokuskan ini adalah inovasi untuk pdpc di bilik darjah.
Mesti ramai yang masih fikir bahawa inovasi ini adalah suatu perkara yang sukar. 
kena kreatif!…  Banyak idea!…  banyak pengetahuan!...

Macam-macam alasan kita berikan untuk bersetuju bahawa inovasi adalah suatu perkara yang sukar. Namun, kehendak transformasi pendidikan hari ini amat mementingkan revolusi perindustrian 4.0. Justeru itu, inovasi menjadi satu keperluan yang pasti untuk kita hasilkan. 

Sebagai seorang guru,  pemikiran yang kreatif & inovatif amatlah penting. Bukannya apa, nanti apabila ada murid yang bermasalah pembelajaran dapatlah kita hasilkan sesuatu bahan inovatif untuk menyelesaikan  masalah mereka. 

Jadi, jangan kata inovasi itu susah. Semua orang mampu hasilkan sesuatu yang dapat menyelesaikan masalah. Yang penting! kalian perlu kuasai sesuatu isu yang hendak diselesaikan.

Jom tonton video inovasi saya dan kawan-kawan di pautan di bawah:


INOVASI KIT SBAK (BAHASA MELAYU)
-DrAzman,Lyana,Tay Seng Fa, Pui Wen Hang, Srigaanth-

INOVASI KIT LINE DANCE (PENDIDIKAN JASMANI)
-Miss Tan Yan Im, Lyana,Hazman,Liza,Ilyani-


INOVASI KAKP (BAHASA MELAYU)
-Dr.Azman, Lyana,Angeline,Salim-

Saturday, November 17, 2018

Perbezaan Objek dan Pelengkap Bahasa Melayu


Nota ini dipetik daripada: (Kho Thong Eng- PELITA BAHASAJ JULAI 2016)

OBJEK
OBJEK ialah frasa nama yang menyusuli kata kerja transítif. Objek meliputí struktur yang pelbagai.
Sila lihat contoh berikut:

1.    Dia menganyam tikar.
2.    Dia menyertai kugiran itu.
3.    Kita harus mengutamakan kesopanan.
4.    Dia menghubungi setiausaha itu.
5.    Dia menghidangkan lauk-pauk.
6.    Kita tidak harus menangkap rama-rama.
7.    Dia mengemaskan bilik tidur.
8.    Dia merindui kampung halaman.
9.    Dia menyusun kerusi meja.
10.  Dia membersihkan longkang yang tersumbat itu.
11.  Dia menyedari (hal) bahawa dirinya bersalah.

Dalam ayat 1 hingga 11, semua kata yang berhuruf tebal merupakan frasa nama objek.

Dalam ayat 1, kata tikar ialah kata tunggal yang menjadi objek kepada kata kerja transitif menganyam.
Dalam ayat 2, kata kugiran ialah akronim.
Dalam ayat 3, kata kesopanan ialah kata terbitan.
Dalam ayat 4, setiausaha ialah kata majmuk.
Dalam ayat 5, kata lauk-pauk ialah kata ganda.
Dalam ayat 6, kata rama-rama ialah kata ganda semu.
Dalam ayat 7, bilik tidur merupakan frasa nama dengan binaan inti - penerang.
Dalam ayat 8, kampung halaman ialah frasa nama inti- inti yang maksudnya serasi.
Dalam ayat 9, kerusi meja ialah frasa nama inti-inti yang maksudnya bertentangan.
Dalam ayat 10, longkang yang tersumbat itu ialah frasa nama yang dipancang klausa pancangan relatif yang.
Dalam ayat 11, objek (hal) bahawa dirinya bersalah ialah frasa nama yang memuatkan klausa komplemen bahawa.

Pada umumnya, kehadiran objek selepas kata kerja transitif adalah wajib. Hal ini dikatakan demikian kerana ayat yang terbina akan tergantung maksudnya jika tidak dilengkapi objek. 
Sila lihat contoh berikut:

12.  *Dia menganyam.
13.  *Dia menyertai.
14.  *Kita harus mengutamakan.
15.  *Dia menghubungi.
16.  *Dia menghidangkan.
17.  *Kita tidak harus menangkap.
18.  *Dia mengemaskan.
19.  *Dia merindui.
20.  *Dia menyusun.
21.  *Dia membersihkan.
22.  *Dia menyedari.

Selain objek tunggal atau objek tepat, terdapat ayat yang mengandungi dua objek, iaitu objek tepat dengan objek sipi.
Sila lihat contoh berikut:

23.  Dia memberi adik hadiah.
24.  Sultan menganugerahi orang yang berjasa pingat kebesaran.
25.  Dia membacakan nenek surat.

Dalam ayat 23, kata kerja transitif memberi diikuti oleh objek tepat adik dan objek sipi hadiah.

Dalam ayat 24, kata kerja transitif menganugerahi diikuti objek tepat orang yang berjasa dan objek sipi pingat kebesaran.

Dalam ayat 25, kata kerja transitif membacakan diikuti objek tepat nenek dan objek sipi surat. 

Dalam hal ini, kata kerja memberi, menganugerahi dan membaca mendukung fungsi benefaktif atau manfaat dengan maksud "untuk" atau "kepada". 

Ayat tersebut akan menjadi tidak gramatis jika hanya satu objek menyusuli kata kerja benefaktif atau manfaat.
Sila lihat contoh berikut:

26.  *Dia memberi adik.
27.  *Sultan menganugerahi orang yang berjasa.
28.  *Dia membacakan nenek.


PELENGKAP
Jika objek dikaitkan dengan kata kena transitif, pelengkap pula berkaitan dengan sesetengah kata kerja tak transitif. Pelengkap meliputi frasa nama, frasa adjektif dan frasa sendi nama. Sila lihat contoh berikut:
1.    Dia ada bakat.
2.    Dia bersenjatakan kayu.
3.    Dia bertambah miskin.
4.    Dia beransur pulih.
5.    Dia tinggal di Kuantan.
6.    Dia menetap di Miri.

Dalam ayat 1, kata bakat ialah frasa nama yang menjadi pelengkap kepada kata kerja tak transitif ada.
Dalam ayat 2, kata nama kayu ialah pelengkap bagi kata kerja bersenjatakan.
Bagi ayat 3, kata adjektif miskin ialah pelengkap bagi kata kerja bertambah.
Dalam ayat 4, kata adjektif pulih ialah pelengkap bagi kata kerja beransur.
Dalam ayat 5, frasa sendi nama di Kuantan ialah pelengkap bagi kata kerja tinggal.
Bagi ayat 6, frasa sendi nama di Miri ialah pelengkap bagi kata kerja menetap.

Tanpa pelengkap, ayat 1 hingga 6 menjadi kurang gramatis kerana maksud ayat tersebut tergantung atau tidak sempurna.
Sila lihat contoh berikut:
*Dia ada.
*Dia bersenjatakan.
*Dia bertambah.
*Dia beransur.
*Dia tinggal.
*Dia menetap.

 Ada kalanya, sesuatu kata kerja tak transitif perlu dikuti pelengkap, atau sehaliknya Hal ini bergantung pada koneks penggunaan kata kerja tak transitif itu. Sila lihat contoh berikut
7.    Dia menjadi guru
8.    Padi yang ditanamrnya menjadi.
9.    Peniaga itu berada di luar negara.
10.  Peniaga itu berada,

Dalam ayat 7, kata kerja tak transitif menjadi perlu dikuti pelengkap kata nama
guru supaya maksudnya lengkap.
Bagi ayat 8, kata kerja yang sama tidak perlu diikuti oleh pelengkap kerana maksudnya sudah lengkap. Kata menjadi dalam ayat 8 bermaksud "berhasil seperti yang diharapkan".
Dalam ayat 9, kata kerja tak transitif berada perlu diikuti pelengkap frasa sendi nama di luar negara, manakala dalam ayat 10, kata kerja yang sama tidak perlu diikuti oleh pelengkap kerana maksudnyd ialah "berharta, kaya atau beremas",
Oleh itu, maksud ayat tersebut sudah lengkap dan sempurna tanpa adanya pelengkap.

Pelengkap tidak boleh hadir di awal maskipun ayat disongsangkan. 
Sila lihat contoh

11.  *Guru dia menjadi,
12.  Menjadi guru dia.
13.  *Pulih dia beransur.
14.  Beransur pulih dia.

Ayat 11 dan 13 di atas tidak gramatis kerana pelengkap dikedepankan tanpa diiringi kata kerja tak transitif. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat ikatan makna yang erat antara kata kerja tak transitif dengan pelengkapnya. Pelengkap harus dibezakan daripada keterangan yang tidak bersifat wajib, meskipun bentuknya mungkin sama. Sila lihat contoh berikut:

15.  Día bekerja di Kuala Lumpur.
16.  Dia bekerja.
17.  Dia tinggal di Kuala Lumpur.
18.  *Dia tinggal.

Dalam ayat 15, frasa sendi nama di Kuala Lumpur ialah keterangan yang boleh digugurkan, tanpa menjejaskan struktur binaan ayat yang sempurma.
 Bagi ayat 17 pula, ayat tersebut akan menjadi tergantung jika pelengkap frasa sendi nama di Kuala Lumpur digugurkan.

Friday, January 20, 2017

Kesihatan dan Kecergasan Diri: Bleep Test


Baiklah, sekarang nak kongsikan penilaian yang dinilai dalam subjek Kesihatan dan Kecergasan Diri (KDC) yang merupakan subjek dalam PPISMP Semester 1. 

Subjek ini memang tiada peperiksaan bertulis yang akan diambil. Pemarkahannya lebih kepada aktiviti fizikal        

Cuma, ada 20% diberi untuk penyediaan refleksi selepas menjalankan keseluruhan ujian fizikal tersebut.

10% pula dinilai daripada pengurusan dalam kumpulan semasa mengendalikan ujian SEGAK. 

30% diperoleh daripada ujian SEGAK yang dijalankan sama seperti di sekolah menengah dahulu…. 

Kemudian lagi 40% dinilai daripada ujian bleep test…. 

Haaaaa patutla semasa syarat kelayakan untk masuk ke IPG mereka jalankan bleep test dalam UKCG. 

Rupa-rupanya ia sangat penting dalam pemarkahan untuk subjek KDC ini. Ada beberapa peringkat yang perlu dilepasi dan saya mampu sehingga ke level 6.2 .      


Penilaian ini dijalankan oleh kami sekelas. Kami yang mengumpul barang, mengukur, mencatat markah kawan dan dipantau oleh pensyarah kesayangan iaitu cik Kalaivalli. Semasa mengendalikan penilaian bleep test kami saling bekerjasama daripada mula sehingga di akhir penilaian dijalankan. 

Nak kongsikan bagaimana saya sangat kagum dengan kerjasama rakan sekelas saya. Ketika itu semua penilaian sudahpun tamat dan ramai bergegas nak pulang ke asrama dek kepenatan berlari kehulu hilir. Pada masa yang sama cik Kalai menyuruh beberapa pelajar kelas C2 untuk menyusun kembali pita pengukur yang panjang itu setelah terbuka dan bergelut semua talinya. Namun, semangat kerjasama yang ditunjukkan apabila hampir semua pelajar  kelas C2 ini tidak pulang sebaliknya berhenti dan membantu kawan untuk membetulkan tali pengukur itu. Memang hilang juga kesabaran memebetulkan tali pengukur yang penjangnya bermeter-meter. 

Akhirnya kami berjaya betulkan dan susunkan semua simpulan tali itu dan digulung seperti biasa. Kesepakatan diantara kami sekelas pasti akan terus menyelesaikan setiap masalah. Saya bangga dengan sahabat C2.

Terima Kasih.
Muka penat setelah aktiviti Bleep Test hehe

FRIM Kepong: Trip Study Week IPG

Assalamualaikum dan hi...

Harini, saya dan kawan-kawan aras 4 KKAA hhehe pergi mengunjungi FRIM Kepong. Tempat ni memang selalu menjadi tempat beriadah saya dan keluarga. Selain daripada menyihatkan badan, minda jadi tenang melihat pepohon hijau yang masih segar terpelihara. Semasa ’Study Week’ kami meluangkan masa di FRIM setelah memerah otak menghafal dan belajar sebagai persediaan menduduki peperiksaan.
    
      Dari IPG Kampus BM ke FRIM dekat je. Kami bertolak awal pagi menaiki KTM daripada KL Sentral terus ke Kepong Sentral. Kemudian menghubungi Grab Car untuk membawa kami ke FRIM. Perjalanan memakan masa hampir 1 jam 30 minit. Jalan-jalan tu dapatlah kurangkan stress belajar dalam bilik. Sampai je dekat FRIM terus kami pergi sewa basikal di kedai ‘Pang Motor’ yang menyediakan perkhidmatan sewaan basikal dan bayaran hanya RM10 nak pusing berapa puluh jam dengan basikal tu pun takpa harga sama je. Kami teroka satu FRIM tu dengan berbasikal. Kawan-kawan saya ni ada yang penat lelah semua ada terutamanya bila nak mengayuh basikal menaiki bukit. Ada yang terdiri mengayuh basikal, ada yang menolak je basikal tu, ada juga yang bersungguh mengayuh bak atlet basikal. Tapi bukitnya memang tinggi dan agak memenatkan. 

       Namun, kenikmatan naik bukit tu sebab ada keseronokannya bila dapat turun bukit tu. Semua menjerit woahhhhhhhh bila turun bukit dengan basikal. Angin yang deras dengan bauan hutan yang menyamankan memang memberi satu kepuasan. Dah penat kami singgah ke kafe untuk beli sedikit juadah makanan lalu bergerak ke Air terjun yang terletak dalam FRIM. Bukan nak mandi, Cuma ingin merasai, dengar bunyi derasan air terjun membasahi batu-batu. Memang hilang semua tekanan dan kepenatan kayuh basikal tadi. Dah gembira-gembira duduk kat air terjun tu, pukul 1 ptg terus kami bertolak keluar dari FRIM dengan kayuhan basikal lagi. Huhhh tu yang malasssss. Penat tau panas-panas lagi. Nasib la banyak pokok yang melindungi pancaran matahari.

      Setelah memulangkan basikal, kami berjalan ke rumah saya. Ini kali pertama kawan-kawan IPG saya datang rumah hihi. Mereka semua jauh-jauh ada dari Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perak. Haaaa tu yang bawa mereka pi jalan-jalan tu. Ok sampai rumah terus solat zohor, makan dan tidur. Petang tu barulah pulang semula ke asrama IPGKBM. Apapun, seronok  melalui hari itu bersama kawan-kawan. Memang hilang semua tekanan. Lepas ni bacaaaaa buku exam nak dekat!!!



Kak Yus, Izzy, Saya, Hudaina, Fadhlin, Kak Wanie


ANGAN JADI MACAM NI KALAU KITA NAK BERIADAH. JAUHKAN TELEFON DARIPADA ANDA.HARGAILAH ALAM SEKITAR YANG INDAH PERMAI TUUU HIHI

Itu sahaja cerita saya sekian.


Ada ke Pertandingan Pidato di IPG?


Sebelum terpilih mewakili IPG untuk ke pertandingan ini, saya menghadiri ujibakat yang dijalankan oleh Jabatan Pengajian Melayu IPG kampus BM. Syukur, saya dapat mewakili IPG Kampus Bahasa Melayu. Pertandingan ini berlangsung di IPG Kampus Raja Melewar pada 4/10/2016.

 Sebagai pengenalan dalam dunia pidato di IPTA, saya diajar oleh pensyarah yang bertindak sebagai jurulatih saya, tentang konsep pemarkahan yang diambil kira sepanjang pertandingan berlangsung. Kami ditekankan dengan cara persembahan iaitu bahasa tubuh yang merangkumi gerak tangan dan muka . Selain itu, kami dilatih untuk membuat pencarian bahan sebagai langkah awal dalam penyediaan teks pidato. Pn Norhayati selaku jurulatih menilai dan memberi tunjuk ajar akan cara penyediaan teks yang lebih ringkas tetapi padat. Begitu banyak ilmu yang baru saya pelajari daripada beliau.

Setelah penyediaan teks lengkap kemudian, pn yati menganalisis dan menambah isi yang masih kurang dalam teks saya supaya lebih tepat apabila menyampaikannya. Saya mula dengan proses membaca dan menghafal. Dalam pidato spontan pula, saya didedahkan dengan pembacaan majalah Dewan Bahasa lalu, mengupas isu-isu bahasa bersama jurulatih dan rakan seperjuangan,Akmal. Cara ini, memberi kefahaman lebih mendalam tentang sesebuah isu.

Semasa hari pertandingan berlangsung, saya sungguh gementar. Tetapi setelah diberi sokongan moral, ternyata saya berjaya menanganinya dengan sebaik mungkin. Semangat yang diberi oleh jurulatih memberi kekuatan untuk saya menghadapi cabaran semasa berada di atas pentas. Penyertaan saya dalam pertandingan ini telah memberi pengalaman sangat berharga buat diri saya. Berkat usaha dan tunjuk ajar jurulatih selama seminggu, dan sokongan padu rakan seperjuangan akhirnya kejayaan berhasil untuk melayakkan saya ke peringkat akhir.Alhamdulillah semasa mengumumkan pemenang saya mendapat johan bagi pertandingan ini. Terima kasih ya Allah.

 Prinsip yang diajar pn yati kepada saya adalah meskipun hari ini saya juara tetapi lain hari belum tentu saya juara kerana untuk mengekalkan gelaran juara bukanlah mudah. Banyak lagi usaha yang perlu dilakukan. Pembacaan berterusan dan latihan yang berkala insyaallah akan menghasilkan kemanisan dalam perjuangan kita. Terima kasih Pn yati di atas segala curahan ilmu yang diberikan tanpa mengenal erti penat lelah. Kenangan menuntut ilmu dengan beliau akan menjadi memori terindah dalam diari kehidupan saya.

Penulisan saya ini sekadar berkongsi pengalaman yang saya terima sepanjang aktiviti ini berlangsung moga bermanfaat kepada anda juga.

Kalau kalian nak tengok contoh saya berpidato masa tu bolehlah kunjungi video saya di You Tube. Persembahan saya biasa sahaja hehe masih terikut-ikut rentak pidato sekolah. Insyaallah banyak lagi yang saya perlu pelajari pada masa akan datang.






Gambar bersama jurulatih kami hehe pensyarah kesayang Puan Norhayati Md Yatim.

Skrin

 Assalamualaikum dan Salam Sejahtera 😄 latihan: https://play.blooket.com/play?id=118886 https://youtu.be/qa4Tx7kdsD0?si=VKj1eozuSJ7LZ05R ht...